Anda di sini

Tambahan pendapatan untuk pekebun kecil

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pekebun kecil dijangka mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM144 sebulan atau RM1,728 setahun bagi pengeluaran getah seluas dua hektar dengan peningkatan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai 2019.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata harga getah beku kini berada pada paras RM1.80 sekilogram, dan hanya 15 hingga 20 peratus pekebun kecil yang memanfaatkannya sejak diperkenalkan pada 2015.

Katanya tambahan pendapatan itu lebih tinggi berbanding RM600 diperuntukkan bagi Bantuan Musim Tengkujuh yang dibayar untuk tempoh tiga bulan.

“Oleh itu, kami mahu seramai mungkin pekebun kecil memohon insentif ini. Lebih banyak mereka menoreh, lebih banyak lebihan pendapatan dapat dijana,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Zairossani berkata terdapat 1 juta hektar ladang getah di Malaysia yang menghasilkan lebih 1 juta tan getah mentah pelbagai gred setahun, dengan 90 peratus melalui pekebun kecil.

Pada masa ini, pelaksanaan IPG diaktifkan apabila harga purata bulanan SMR 20 berada di bawah paras RM5.50 sekilogram atau RM2.20 sekilogram bagi getah beku.

Sejak 2015 sehingga sekarang, sebanyak RM102 juta telah disalurkan kepada pekebun kecil.

Paras ini akan dinaikkan kepada RM2.50 sekilogram pada 2019 untuk membantu pekebun kecil berhadapan dengan persekitaran harga komoditi itu yang rendah.

Bagaimanapun, katanya pengeluaran getah itu masih tidak dapat menampung keperluan tempatan, menjadikan Malaysia antara pengimport bersih getah asli.

“Malaysia merupakan pengeksport getah mentah ketiga terbesar tetapi kita kekurangan getah bagi penggunaan sektor hiliran tempatan.

“Kami menjangka eksport produk getah meningkat kepada lebih RM18 bilion bagi 2018. Justeru, pengeluaran getah perlu dipertingkatkan supaya kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada getah import,” katanya.

Zairossani berkata musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga Januari akan mengurangkan aktiviti penorehan dan pengeluaran tempatan.

Justeru, katanya pekebun kecil digalakkan menggunakan alat pelindung hujan untuk mengelak panel torehan menjadi basah ketika hujan gerimis.

“Secara purata, aktiviti menoreh dijalankan 10 hari sebulan. Pada musim hujan, dianggarkan mereka dapat menoreh antara tiga dan empat hari sahaja.

“Dengan menggunakan alat pelindung hujan, bilangan hari menoreh dapat ditingkatkan kepada enam hingga tujuh hari sebulan,” katanya.

Katanya teknologi itu telah diguna pakai secara meluas di ladang-ladang swasta di seluruh negara, termasuk di ladang LGM di Sungai Kari, Kedah dan Kota Tinggi, Johor.

Di samping itu, katanya aktiviti torehan lewat apabila panel torehan kering boleh dilakukan sekiranya hujan lebat berterusan.

“Walaupun hasil torehan lewat rendah, aktiviti menoreh masih boleh dijalankan. Anggapan menoreh hanya boleh dilakukan pada awal pagi sahaja perlu diperbetulkan kerana ia boleh dilakukan pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata pokok getah menghasilkan pengeluaran paling tinggi pada September hingga Februari, sebelum memasuki musim daun luruh pada Mac hingga Mei.

“Pada waktu ini, pokok getah betul-betul matang dan menghasilkan getah yang banyak. Justeru, kita mengalakkan penoreh menjalankan aktiviti pada waktu ini.

“Kita tidak menggalakkan mereka menoreh pada musim daun luruh dan Jun hingga Ogos adalah tempoh pengeluaran pertengahan,” katanya.

Zairossani berkata harga getah kini berlegar pada paras rendah berikutan lebihan pengeluaran daripada negara-negara baharu seperti Laos dan Vietnam. — Bernama

Advertisement