Anda di sini

Syarikat Perancis minat wujud fasiliti penyelenggaraan Airbus di Johor

Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Sebuah syarikat aeroangkasa di Perancis memberi respons positif terhadap rancangan kerajaan negeri Johor untuk mewujudkan fasiliti penyelenggaraan pesawat Airbus di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Johor diberitahu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata syarikat itu bercadang membuat lawatan kajian lapangan ke tapak pada tahun depan.

Tanpa mendedahkan nama syarikat itu, katanya ini susulan  mesyuarat antara kerajaan negeri dengan beberapa pengusaha industri aeroangkasa bagi memungkinkan rancangan itu di Toulouse, Perancis pada awal bulan lepas melalui misi pelaburan yang dijayakan dengan kerjasama Dewan Perdagangan dan Industri Perancis (CCI France).

“Hasil mesyuarat, kerajaan negeri telah mendapat respons positif daripada sebuah syarikat yang mengadakan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat Airbus bagi membangunkan sebuah fasiliti untuk menampung keperluan dan pasaran di Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chen Kah Eng (PH-Stulang) tentang sektor pelaburan baharu yang akan diberikan penekanan dalam memastikan Johor terus menjadi negeri paling digemari pelabur.

Puah berkata dengan mengambil kira kajian Frost and Sullivan yang menjangkakan industri perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan di rantau Asia Pasitif adalah bernilai hampir AS$23.14 bilion menjelang 2022, segala peluang dalam industri aeroangkasa harus dimanfaatkan.

Oleh itu, katanya kerajaan negeri akan terus mengembangkan idea untuk meletakkan bidang aeroangkasa sebagai keutamaan di samping untuk memperoleh sumber pelaburan yang berkualiti.

Pada masa sama, katanya pihaknya akan memberi penekanan kepada satu lagi sumber pertumbuhan ekonomi baharu iaitu industri halal yang mempunyai nilai pasaran yang amat besar di peringkat global.

“Saiz pasaran ini akan terus berkembang berdasarkan peningkatan kesedaran dan permintaan kepada produk dan perkhidmatan halal daripada 1.8 bilion penduduk Islam dari seluruh dunia terutama di Jepun, Timur Tengah dan juga Eropah,” katanya. — Bernama

Advertisement