Anda di sini

Perbanyak kejohanan sepak takraw untuk lahir bakat baharu

Advertisement
 Pasukan PGA A bergambar kenangan bersama Fazzrudin (enam kiri), Dr Zaiedi (lima kiri), Abang Ismail (empat kanan), exco PSS, penaja dan jawatankuasa penganjur selepas majlis penyampaian hadiah.
JUARA: Pasukan PGA A bergambar kenangan bersama Fazzrudin (enam kiri), Dr Zaiedi (lima kiri), Abang Ismail (empat kanan), exco PSS, penaja dan jawatankuasa penganjur selepas majlis penyampaian hadiah.

PENGANJURAN kejohanan sepak takraw di peringkat tempatan secara berterusan penting sebagai landasan untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan tradisi itu.

Pada masa sama, persatuan sepak takraw negeri mahupun bahagian juga perlu menjengah kawasan-kawasan kampung yang berpotensi menjadi lubuk kelahiran pemain baharu yang mungkin mengharumkan nama Sarawak suatu hari nanti.

Atas kesedaran itu, PBB N6 Tupong dan Persatuan Sepak Takraw Bahagian Kuching tampil dengan inisiatif menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Super Series YB Fazzrudin Abdul Rahman 2018.

Kejohanan tersebut telah diadakan dalam tiga siri di mana siri pertama diadakan pada 13-14 Oktober, disusuli siri kedua pada 27-28 Oktober dan siri ketiga pada 10-11 November.

 Fazzrudin menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah Tekong Terbaik, Mohd Rizal yang mewakili PGA A.
TERBAIK: Fazzrudin menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah Tekong Terbaik, Mohd Rizal yang mewakili PGA A.

Acara kemuncak atau Grand Finale kejohanan itu telah diadakan pada 25 November di Dewan Kampung Paroh di Kuching yang menyaksikan 16 pasukan terbaik daripada tiga siri berkenaan mengambil bahagian.

Juara pada Grand Finale dirangkul PGA A selepas menundukkan Bandarayaku 2-1 (21-17, 11-21, 21-10).

Kemenangan itu membolehkan pasukan itu menggondol hadiah wang tunai RM1,000 beserta trofi dan medal.

 Sebahagian daripada aksi-aksi menarik perlawanan Grand Finale antara PGA A dan Bandarayaku.
LINCAH: Sebahagian daripada aksi-aksi menarik perlawanan Grand Finale antara PGA A dan Bandarayaku.

Manakala Bandarayaku pulang dengan RM600, medal beserta trofi.

Tempat ketiga bersama pula dimenangi Noba A dan Noba B dan masing-masing meraih RM400, trofi dan medal.

Anugerah Tekong Terbaik menjadi milik pemain PGA A, Mohd Rizal.

Anugerah Apit Kiri dan Apit Kanan Terbaik pula masing-masing disandang Mohd Razis Salleh (Bandarayaku) dan Fadrulhizam (Noba B).

Noba B meraih gelaran tambahan apabila dianugerahkan juara keseluruhan Super Series YB Fazzrudin 2018 selepas mengumpul mata terbanyak dalam semua siri yang dipertandingkan.

Bagi kategori Ranting PBB N6 Tupong, juara disandang pasukan Kolong 2 manakala Kampung Paroh selaku naib juara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman merasmikan penutupan kejohanan yang turut dihadiri Senator Dewan Negara Dr Zaiedi Suhaili, Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) Datuk Abang Ismail Abang Saufi dan wakil penaja dari syarikat Lea Sports Centre.

Dalam ucapannya, Fazzrudin menyuarakan sokongan penuh terhadap usaha untuk membangunkan sukan sepak takraw di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau mahu penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Super Series YB Fazzrudin Abdul Rahman diteruskan pada tahun hadapan kerana ia dilihat salah satu landasan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu.

Beliau juga mahu penganjur memperkenalkan kategori tambahan bagi pemain berusia bawah 18 tahun sebagai usaha menarik minat lebih ramai pemain muda.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan pihak persatuan untuk memperkenalkan kategori baharu itu selain bersetuju menggandakan jumlah hadiah utama bagi menarik lebih banyak penyertaan pada tahun hadapan.

  • oleh
  • Advertisement