Anda di sini

Peniaga kuih maut dilanggar kereta terbabas 

Advertisement
KENDERAAN yang terbabas sehingga menyebabkan peniaga kuih maut akibat kecederaan parah.
KENDERAAN yang terbabas sehingga menyebabkan peniaga kuih maut akibat kecederaan parah.

SANDAKAN: Seorang peniaga maut akibat dilanggar sebuah kenderaan di tepi jalan berhampiran Sri Taman, Batu 3 1/2, di sini, petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK) pada awal pagi Rabu akibat kecederaan parah yang dialami. 

Beliau berkata kejadian kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang Selasa di hadapan Masjid Sri Taman melibatkan sebuah kereta dengan seorang peniaga yang menjual kuih di Batu 3 1/2. 

"Kemalangan berlaku semasa kereta yang dalam perjalanan dari arah Batu 7 Sandakan menuju ke Batu 3 dan apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan lalu terlanggar mangsa yang sedang berniaga kuih di gerai tepi jalan berhadapan Masjid Sri Taman. 

"Impak kejadian itu, peniaga terbabit mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HDOK untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya. 

Bagaimanapun, Azhar berkata kira-kira jam 4.40 pagi Rabu, pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. 

Sehubungan itu, beliau meminta saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil untuk memberi keterangan atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nurwati Ismail di talian 089-242254. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

  • oleh
  • Advertisement