Anda di sini

Maszlee naif apabila menyalahkan Kerajaan Sarawak kerana masih wujud sekolah daif

Advertisement

KUCHING: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik disifatkan Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai naif apabila seolah-olah menyalahkan Kerajaan Sarawak kerana masih wujud sekolah daif di Sarawak.

Malah kenyataan susulan lawatannya ke sekolah-sekolah di Sarawak baru-baru ini yang meminta agar isu sekolah usah dipolitikkan adalah melucukan apabila mempertanggungjawabkan Kerajaan Sarawak sepenuhnya terhadap kedaifan sekolah.

Kenyataan media bersama Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu, Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang dan Ketua Pemuda PDP Robert Ayu berkata perbandingan antara sekolah di Johor dan Sarawak tidak wajar dilakukan.

“Tindakan Maszlee membandingkan Sarawak dan kampung beliau di Johor de-ngan menyebut banyak perubahan di kampungnya dalam tempoh 40 tahun berbanding Sarawak, sangat tidak masuk akal, kerana saiz Sarawak hampir menyamai seluruh Semenanjung dan Johor jauh lebih kecil.

“Untuk membandingkan Sarawak dengan Johor me-nunjukkan betapa naifnya Dr Maszlee dan seolah-olah menghina orang Sarawak.

“Kekayaan Sarawak selama ini yang dikaut kuasa imperialis Malayalah yang menjadi penyebab utama Sarawak menjadi seperti ini,” kata kenyataan itu, se-malam.

Perlu diingat bahawa bidang pendidikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri dan mereka yang pernah menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad (1974-1978), Datuk Seri Anwar Ibrahim (1986-1991) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2009-2013 dan 2013-2015).

“Kenyataan beliau yang menyebut bahawa tidak masuk akal negeri sekaya Sarawak mempunyai banyak lagi sekolah daif, ibarat ‘meludah ke langit’. 

“Tindakan meletakkan telunjuk kepada mana-mana pihak harus dihentikan ke-rana semua perlu bertanggungjawab dan bergerak ke hadapan ke arah menangani masalah rakyat, bukannya asyik hendak mencari salah orang lain,” ujar kenyataan itu lagi.

Maszlee harus melihat sekolah sebagai wadah untuk melahirkan anak bangsa masa depan negara dan bukannya yang perlu dikorbankan di arena politik demi mengejar darjat dan kuasa. 

Apabila Kerajaan Sarawak menegaskan betapa pentingnya sekolah-sekolah daif ini dibina semula atau dinaik taraf, bermakna ia benar-benar mendesak untuk dilaksanakan. 

Kebanyakan sekolah tersebut sudah wujud lebih daripada 30 hingga 40 tahun yang lalu dan sudah tiba masanya untuk ia sama ada dinaik taraf atau dibina baharu.

“Jika kerajaan persekutuan mahu melihat kita berdikari sepenuhnya, maka kembalikan 100 peratus hasil minyak dan gas Sarawak serta berikan autonomi penuh bidang pendidikan kepada Kerajaan Sarawak. 

“Kita akan mengendalikannya dengan cara kita. Kita berharap Maszlee sendiri akan menyokong penuh jika usul ini dibawa ke Dewan Rakyat,” tegasnya.

Pemuda GPS katanya, berharap Maszlee benar-benar serius dengan kenyataannya untuk menangani isu sekolah daif dan tidak seperti janji tidak ditepati beliau untuk menghapuskan Tol Simpang Renggam ketika kempen PRU14 jika Pakatan Harapan (PH) menang.

Pemuda GPS juga berharap Maszlee dapat memohon kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar memberi peruntukan lebih besar untuk menangani isu sekolah daif, bukannya hanya menyediakan RM100 juta untuk dikongsi seluruh negara.

Kerajaan sebelumnya telah meluluskan peruntukan RM2.5 bilion untuk membaiki dan menaik taraf sekolah daif bagi 2018 dan 2019, masing-masing RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak, RM500 juta untuk Semenanjung.

Pada 2018 (sebelum PRU14) kerajaan sebelumnya telah menyediakan peruntukan RM419.05 juta untuk membina dan membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Sebanyak 50 sekolah yang dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) telah siap dengan kos RM138.45 juta.

Manakala daripada 66 sekolah dibina Kementerian Pendidikan dengan kos RM280.6 juta, 17 lagi belum siap.

Ada baki RM581 juta per-untukan untuk Sarawak sepatutnya dibawa ke tahun 2019, namun kini kerajaan Pakatan Harapan hanya memperuntukkan RM100 juta untuk seluruh negara.

Advertisement