Anda di sini

Marii dan Kolej unikop meterai MoA perluas kerjasama tingkatkan kualiti program dan kursus pendidikan

Advertisement
 Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (dua kanan) bersama Pentadbir Kolej Universiti Koperasi Polis (Unikop), AL Farid Abdul Hajis (dua kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kop Mantap Berhad (kiri) dan Madini bersalam selepas memeterai memorandum kerjasama antara Kolej Unikop dan MARii semalam. — Gambar Bernama
TERMETERAI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (dua kanan) bersama Pentadbir Kolej Universiti Koperasi Polis (Unikop), AL Farid Abdul Hajis (dua kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kop Mantap Berhad (kiri) dan Madini bersalam selepas memeterai memorandum kerjasama antara Kolej Unikop dan MARii semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT (objek rangkaian Internet) Malaysia (MARii) dan Kolej UNIKOP, milik Koperasi Polis Diraja, memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi memperluas kerjasama dalam meningkatkan kualiti program dan kursus pendidikan serta persijilan yang ditawarkan kedua-dua pihak.

MARii dahulunya dikenali sebagai Institut Automotif Malaysia (MAI).

Dalam satu kenyataan semalam, MARii menyatakan, MoA berkenan bertujuan memenuhi keperluan pembangunan tenaga mahir tempatan dalam bidang automotif, robotik dan objek rangkaian Internet (IoT).

Antara inisiatif di bawah MoA ini adalah, peningkatan program pembangunan modal insan bagi melahirkan graduan yang dilengkapi kemahiran serta pengetahuan dalam sektor pembuatan dan lepas jualan automotif, juga bidang robotik dan IoT.

MoA ini akan turut melaksanakan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) automotif Malaysia menerusi ‘Program Transformasi Bengkel’ yang dianjurkan MARii, bagi mentransformasi operasi bengkel tempatan serta menyediakan platform bagi bengkel menanda aras kebolehan masing-masing berlandaskan amalan terbaik bengkel automotif.

“Perjanjian ini dijangka meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir di dalam ekosistem automotif tempatan, bagi memenuhi kehendak industri di masa hadapan, justeru meningkatkan kualiti untuk bersaing di tahap global,” kata kenyataan itu.

Ketua Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari, berkata selain peluang peningkatan kerjaya, perjanjian itu dijangka memperkasa sektor lepas jualan, terutama bagi bengkel kenderaan dari segi pengurusan, kewangan dan sumber manusia.

“Fokus kepada sektor lepas jualan adalah satu aspek strategik bagi kerajaan. Sejauh mana pun keupayaan sektor pembuatan dalam mengeluarkan kereta berkualiti, keupayaan dalam pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan menjadi aspek yang lebih penting bagi pengguna.

“Ini kerana, pengalaman memiliki kereta terletak pada keupayaan bengkel dalam memberikan mutu perkhidmatan yang baik,” katanya. — Bernama

Advertisement