Anda di sini

KKM sahkan mangsa terbaharu rabies maut

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengesahkan seorang lelaki berusia 21 tahun yang dijangkiti penyakit rabies telah meninggal dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat rabies di Sarawak sebanyak 13 kes sejak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017.

Katanya, seorang lagi pesakit masih dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi. 

"Pesakit berusia 21 tahun tersebut telah meninggal dunia pada pagi 4 Disember 2018 di Hospital Umum Sarawak. 

"Punca kematiannya adalah Rabies Encephalomyelitis," katanya sambil menzahirkan takziah kepada keluarga beliau.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan pada 28 November lalu mengesahkan kes jangkitan terbaharu itu di Sarawak selepas menerima ujian sampel klinikal pada sehari sebelum. 

Katanya, pesakit pernah digigit seekor anjing tidak bertuan pada 4 Oktober namun dia tidak mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan tetapi sebaliknya hanya membeli ubat sapu luka di farmasi.

Pada 21 November 2018, pesakit mengalami sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya namun tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing.

Katanya, pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila mengalami lemah kedua-dua kakinya pada 24 November.

"Pesakit telah dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati beliau mempunyai gejala hidrofobia, aerofobia dan kekeliruan," katanya lagi.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, agensi-agensi lain serta negara jiran seperti Indonesia bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan rabies dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
 

 
Advertisement