Anda di sini

Empat petinju rebut Piala Ketua Menteri Sarawak

Advertisement
Abang Johari (empat kiri) menyerahkan piala kepada Jumaat sambil disaksikan (dari dua kanan) Benjamin, Morshidi dan tetamu lain.
Abang Johari (empat kiri) menyerahkan piala kepada Jumaat sambil disaksikan (dari dua kanan) Benjamin, Morshidi dan tetamu lain.

KUCHING: Empat petinju sedia mempamer kehebatan untuk merebut Piala Ketua Menteri Sarawak sempena Kejohanan Muaythai Sarawak 2018 dijadual berlangsung pada 15 hingga 16 Disember di Tebingan Kuching, di sini.

Mereka yang akan bersaing dalam kategori 66kg ialah Morris Hii Zhen Wei (Kelab Muaythai D30 Miri), Jordan Bokoet Herman (Kelab Muaythai Bau), Abg Muhammad Uqail Abg Mustapha (Kelab Warmonger Sarawak) dan Roslan Johani (Kelab Muaythai Phoenix Sadong Jaya Samarahan).

Selain itu, beberapa perlawanan menarik juga akan berlangsung di sebelah malah membabitkan aksi Superfight Wanita 57-60kg yang mempertemukan jaguh muay dari Kelab Muaythai D30 Miri Maurien Hii akan menentang Dolphina Walter mewakili SS Fighters.

Aksi Superfight Pro Jemputan Borneo 61kg pula menyaksikan petinju Mayhem Gym Brunei, Aaron Lim ditentang wakil tempatan Wan Syahmi mewakili Phoenix Meranek, Samarahan.

Tumpuan juga terarah kepada pertembungan peserta Thailand, Suphan Kaeosisaet yang akan bertarung dengan Muhd Ezham Ibrahim  (Red Army Kuala Lumpur) dalam perlawanan Pro Jemputan Antarabangsa 57kg.

Menurut Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim perlawanan amatur akan bermula jam 10 pagi pada 15 Disember disusuli perlawanan Piala Ketua Menteri Sarawak dan pro di sebelah malam.

“Pada sebelah siang akan berlangsung perlawanan amatur Kejohanan Muaythai Sarawak bagi mencungkil bakat-bakat baru untuk SUKMA 2020 yang akan diadakan di Johor.

“Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Sara Urusharta Sdn Bhd (SEDC), agensi-agensi dan badan bukan kerajaan berkaitan,” katanya semasa majlis penyerahan piala di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis penyerahan piala yang turut dihadiri Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (PBS) Dato Benjamin Hasbie, Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad dan exco PMNS.
 

Advertisement