Anda di sini

Empat lelaki didakwa insiden rusuhan di kuil

Advertisement
 Empat lelaki termasuk seorang pegawai keselamatan sebuah syarikat pemaju didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya semalam atas tuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, minggu lalu. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Empat lelaki termasuk seorang pegawai keselamatan sebuah syarikat pemaju didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya semalam atas tuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, minggu lalu. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Empat lelaki termasuk seorang pegawai keselamatan sebuah syarikat pemaju didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, minggu lalu.

Pegawai keselamatan One City Development Sdn Bhd, Irwan Nordin, 38; Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, 26; Mohd Khairi Abd Rashid, 24, dan Rozaihan Jamaludin, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan beberapa orang lagi yang masih bebas didapati berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau serta kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kuil berkenaan di USJ 25, Seafield, Subang Jaya antara 2 pagi dan 5 pagi, 26 Nov lalu lalu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid yang mengetuai barisan pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Dalam prosiding itu, tertuduh Irwan Nordin diwakili peguam Mohd Rafique Rashid Ali manakala yang lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Difahamkan, seorang lagi individu yang sepatutnya dituduh mengikut seksyen sama masih berada di hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dalam prosiding melibatkan kes sama, seorang lagi lelaki, T. Thinekaran, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang individu, Datuk K. Tanggeswaran, 25, dengan cara menumbuk mangsa di bahagian kening sebelah kiri di tepi jalan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), USJ, di sini pada jam 4.30 petang, hari sama.

Pendakwaan bagi kes tersebut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Salim menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan ringan atas alasan dia mempunyai dua anak yang perlu ditanggung.

Mahkamah membenarkan Thinekaran diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula kesemua kes. — Bernama

Advertisement