Anda di sini

Runtuhan akibat letupan gas, tiga maut

Advertisement
Mayat mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut
Mayat mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 
 

KUCHING: Tiga maut dan empat cedera parah dalam kejadian runtuhan yang berpunca dari letupan gas di pusat beli belah CityONE, hari ini.

Tiga lelaki yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Tchee Kiam Jong, 24; dan O Kui Lim, 49, masing-masing warga tempatan, dan seorang lelaki yang berasal dari Pulau Pinang, Chin Hsien Loong, 29.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata kesemua mangsa maut merupakan pekerja yang sedang melakukan penyelenggaraan di dapur premis makanan tersebut.

"Tiga mangsa disahkan mati oleh pihak perubatan di tempat kejadian apabila dihempap timbunan batu (dinding) semasa letupan berlaku, manakala tiga lagi mangsa (terperangkap) berjaya dikeluarkan dan terus dihantar ke hospital," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Khirudin ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. - Gambar Chimon Upon

Menurut Khirudin, 22 lagi mangsa terdiri daripada pekerja restoran dan pelanggan dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.

Kejadian itu katanya dipercayai berpunca daripada kebocoran silinder gas. 

Jelasnya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak berwajib.

Mayat mangsa diangkat keluar dari tempat kejadian. 

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Benny, 40an berkata semasa kejadian kira-kira 20 orang berada di sekelilingnya sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

“Premis tersebut sedang menjalani persiapan akhir sebelum dijadualkan dibuka esok. Ketika kejadian kami sedang bekerja apabila tiba-tiba ia meletup dan dinding serta siling di dalam terus runtuh.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, saya cuma ingat itu sahaja,” katanya yang turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badannya.

Sementara itu, pihak pengurusan CityONE dalam satu kenyataan memberitahu pusat beli belah itu ditutup serta merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
 

Advertisement