Anda di sini

Priyanka dan Nick berkahwin dalam majlis mewah India

Advertisement
 

PELAKON Bollywood Priyanka Chopra dan penyanyi Amerika Nick Jonas menganjurkan sebuah konsert ekstravaganza pada Ahad untuk jemputan perkahwinan mereka yang dipenuhi bintang-bintang yang menyaksikan pasangan itu mengikat tali perkahwinan di sebuah istana India yang mewah.

Priyanka, 36, dan Nick, 26, mempersembahkan satu muzik dan rutin tarian India yang mewah manakala rakan-rakan dan keluarga mereka bertepuk tangan di istana Umaid Bhawan yang terletak di barat bandar raya Jodhpur.

Perayaan yang berlangsung selama beberapa hari itu -- yang digelar “majlis perkahwinan paling gemilang tahun ini” di India -- diteruskan sehingga malam dengan ritual agama Hindu untuk pasangan bintang terkenal yang sebelumnya telah bertukar-tukar sumpah dalam satu majlis Kristian pada malam Sabtu.

Priyanka berkata persembahan “sangeet” berwarna-warni, yang menonjolkan set yang penuh dengan hiasan dan ramai penghibur, bermula seperti satu “pertandingan tarian yang sengit” antara keluarga-keluarga muzikal mereka.

“Setiap keluarga memberitahu cerita-cerita kami melalui lagu dan tarian, dipenuhi banyak ketawa dan cinta,” tulisnya di Instagram pada Ahad.

 Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh Raindrop Media pada 1 Disember 2018 ini menunjukkan Priyanka dan Nick semasa acara ‘mehndi’ perkahwinan mereka di istana Umaid Bhawan, Jodhpur. — Gambar AFP / Raindrop Media
MEWAH DAN MERIAH: Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh Raindrop Media pada 1 Disember 2018 ini menunjukkan Priyanka dan Nick semasa acara ‘mehndi’ perkahwinan mereka di istana Umaid Bhawan, Jodhpur. — Gambar AFP / Raindrop Media

Mereka berkahwin di ‘Blue City’ yang legenda di India itu dengan tetamu kenamaan termasuk abang Nick, Joe Jonas dan tunangnya, aktres British dan bintang ‘Game Of Thrones’ Sophie Turner.

Pereka fesyen AS Ralph Lauren berkata label itu juga terlibat dalam gaya acara.

“Ralph Lauren bangga dapat menyediakan pakaian pasangan itu serta anggota ahli-ahli yang terlibat dalam majlis perkahwinan mereka,” kata pereka itu di Twitter pada hari Sabtu.

Pasangan itu bertunang pada Ogos di mana mereka berkongsi gambar di media sosial yang menunjukkan mereka melakukan ritual doa dengan mengenakan pakaian India tradisional.

Majlis perkahwinan dimulakan dengan satu acara “mehndi” India tradisional, di mana tangan dan kaki Priyanka diinai dengan cantik sekali.

Pengantin perempuan memakai warna-warna India yang terang manakala Jonas memakai kurta yang ditekat dengan terperinci. Majlis itu diakhiri dengan satu pertunjukan bunga api mewah di langit bandar raya Jodhpur.

Priyanka, yang memenangi pertandingan ratu cantik Miss World pada 2000, merupakan salah seorang bintang yang paling dikenali di Bollywood dan seorang daripada segelintir bintang yang telah mencapai kejayaan di dunia Barat.

Dia berlakon dalam siri aksi ABC ‘Quantico’ dan mengeluarkan lagu bersama artis yang menduduki tempat teratas dalam carta AS termasuk Pitbull dan The Chainsmokers.

Nick pertama kali mengecapi kejayaan ketika kanak-kanak, sebagai penyanyi utama kumpulan The Jonas Brothers bersama dua adik beradiknya.

Adik beradik itu berasal daripada sebuah keluarga Kristian yang amat taat dan mengemukakan imej yang menyegarkan, termasuk memakai cincin kesucian untuk memupuk kesucian.

Sejak beberapa tahun lalu, Jonas mengubah diri dengan imej yang lebih matang dan resah, selain turut beralih kepada bidang lakonan.  — AFP

Advertisement