Anda di sini

Penyeludupan beras tumpas

 Tan (depan, dua kiri) bersama pasukan risikan dan serbuan semasa mengadakan sidang media di lokasi serbuan di Estet Perindustrian Piasau, Miri semalam.
TUMPAS: Tan (depan, dua kiri) bersama pasukan risikan dan serbuan semasa mengadakan sidang media di lokasi serbuan di Estet Perindustrian Piasau, Miri semalam.

MIRI: Polis percaya berjaya menumpaskan satu kegiatan penyeluduhan beras dari negara jiran dengan merampas hampir 298 tan beras bernilai lebih RM0.6 juta hasil serbuan di dua gudang di Estet Perindustrian Piasau di sini.

Berikutan serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang mendakwa dirinya pemilik gudang berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 (BN12) Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri Superintenden Tan Hiap Seng berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan intipan lebih tiga minggu anggota Unit Risik BN12 PGA Miri.

Setelah mendapat maklumat sahih katanya, sekitar jam 8 pagi Sabtu lalu, sepasukan anggota Unit Risik diketuai Inspektor Rizuan Makladin yang melakukan Ops Libas telah menyerbu dua gudang berkenaan di kawasan Estet Perindustian Piasau di sini.

“Semasa serbuan dilakukan, pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dipercayai pemilik gudang dan beras berkenaan.

“Manakala hasil pemeriksaan lanjut di premis itu menjumpai 5,856 guni berisi beras putih dengan setiap satu guni seberat 50 kilogram (kg) dan 450 kampit beras dengan setiap kampit seberat 10kg menjadikan jumlah beras yang dirampas sebanyak 297,300kg dan bernilai RM623,880,” katanya sambil memberitahu, beras-beras itu disimpan dalam dua gudang dan enam kontena.

 Tan (tengah) dan Rizuan (dua kanan) serta anggota menunjukkan beras seludup yang telah dibungkus semula menggunakan bungkusan tempatan.
MODUS OPERANDI: Tan (tengah) dan Rizuan (dua kanan) serta anggota menunjukkan beras seludup yang telah dibungkus semula menggunakan bungkusan tempatan.

Tan memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di lokasi serbuan di sini semalam.

Hadir sama Penolong Pegawai Pemerintah BN12 Deputi Superintenden Polis (DSP) Uchong Sigan dan Inspektor Rizuan Makladin.

Dalam pada itu menurut beliau, beras yang dirampas dipercayai diseludup masuk dari negara jiran Vietnam dan Thailand melalui jalan laut sebelum dibungkus semula dan diedar untuk pasaran tempatan dan ladang.

Katanya, modus operandi mereka ialah apabila beras tiba, mereka akan bungkus semula dengan menggunakan bungkusan Malaysia ‘Ricemas’ dalam berat 5kg dan 10kg untuk pasaran tempatan dan dihantar ke ladang dengan cepat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pihak yang terlibat telah menggunakan guni dengan cap BERNAS/Malaysia yang dicetak sendiri bagi mengaburi mata pihak berkuasa semasa beras-beras tersebut diseludup masuk ke sini menggunakan kapal.

“Beras ini memang bukan keluaran negara kita dan ia diseludup masuk ke sini untuk mengelak daripada membayar cukai bagi mendapatkan keuntungan lebih besar.

“Manakala serbuan Sabtu lalu merupakan yang kedua pernah dilakukan anggota PGA Miri ke atas gudang yang sama dengan serbuan pertama pada dua tahun lalu membabitkan jumlah rampasan lebih kecil,” katanya sambil memberitahu kegiatan tersebut telah beroperasi sejak lebih lima tahun lalu.

Setakat ini menurut beliau, ini merupakan rampasan yang terbesar dilakukan pihak mereka membabitkan rampasan beras seludup dari negara jiran.

Sehubungan itu menurut Tan, pemilik akan disiasat mengikut Seksyen 9 (2) (a) Akta Kawal Padi dan Beras 1994 kerana tidak mempunyai permit dan kelulusan daripada BERNAS dan kes akan diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Miri untuk tindakan lanjut.