Anda di sini

Padah curi coklat, lelaki kena 11 bulan 

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mencuri pelbagai jenis coklat dianggarkan bernilai RM1,358.10 dikenakan penjara 11 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini. 
Sanasi Jonip Mandusi, 29, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Afiq Agoes setelah mengaku salah atas pertuduhan terbabit. 

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 16 November antara jam 7.35 pagi hingga 5.38 petang di kiosk Famous Amos, Suria Sabah di sini. 

Sanasi yang tidak memiliki dokumen diri disabitkan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara selama 10 tahun dan boleh dikenakan denda. 

Mengikut fakta kes, satu laporan polis dibuat pengadu pada 16 November setelah mendapati kiosk berkenaan dalam keadaan berselerak dan pelbagai jenis coklat hilang. 

Hasil siasatan melalui rakaman video litar tertutup, kelihatan tertuduh masuk dengan cara memanjat kiosk berkenaan kemudian mencuri semua coklat berkenaan. 

Ketika disoal mahkamah, tertuduh menyatakan selain memakan sendiri coklat berkenaan, tertuduh juga memberikan kepada rakan-rakannya. 

Afiq memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh sabitan. 

Dalam kes berasingan, seorang wanita dikenakan penjara dua bulan atas kesalahan mencuri empat botol syampu bernilai RM91.60. 

Fauzeya Bakar yang tidak diwakili peguam, dijatuhkan hukuman itu setelah kertas pertuduhan dibacakan dan mengaku salah. 

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 28 November di Watson Taipan Inanam, di sini. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh tangkap.

  • oleh
  • Advertisement