Anda di sini

Lembu Bali ternakan berpotensi di Sarawak

 Lembu Bali berpotensi diusahakan sebagai lembu pedaging yang memberi pulangan tinggi.
MENGUNTUNGKAN: Lembu Bali berpotensi diusahakan sebagai lembu pedaging yang memberi pulangan tinggi.

MUNGKIN ramai yang kurang mengenali lembu Bali berbanding dengan jenis lembu yang lain seperti lembu Kacukan Pedaging KK, lembu Kedah Kelantan dan lembu Brahman sebagai haiwan ternakan pedaging di Malaysia.

Tahukah anda bahawa lembu Bali atau nama saintifiknya Bos Javanicus juga boleh menjadi salah satu ternakan ruminan yang boleh diusahakan khususnya di Sarawak.

Merujuk perangkaan ternakan 2016/2017 dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, bilangan ternakan lembu di Sarawak sehingga 2017 adalah dianggarkan 10,348 ekor.

 Dr Zaidi membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap lembu Bali.
KERJA RUTIN: Dr Zaidi membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap lembu Bali.

Bilangan ini masih kecil jika dibandingkan dengan negeri Sabah, iaitu dianggarkan mempunyai 75,782 ekor untuk lembu pedaging dan tenusu.

Oleh itu, masih terdapat potensi yang tinggi bagi memenuhi kapasiti keperluan ternakan lembu terutamanya lembu Bali dengan mengambil kira keluasan tanah pertanian di Sarawak.

Menurut Pegawai Pertanian Kanan (Doktor Veterinar) dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) Dr Zaidi Suif, terdapat beberapa kelebihan penternakan lembu Bali seperti yang diusahakan oleh UPMKB iaitu antaranya ialah lembu Bali mudah dijinakkan.

Selain itu, kerana habitat asalnya adalah liar, lembu Bali memiliki ciri-ciri lasak seperti tahan kepada cuaca, kelembapan yang tinggi dan tahan dari segi parasit dalaman dan luaran.

Ini akan mengurangkan kos ubatan dan rawatan, ditambah lagi dengan sistem pencernaan yang proaktif iaitu mampu mencerna makanan/rumput yang berkualiti rendah dengan baik.

Oleh itu, agak sukar untuk melihat lembu Bali dengan skor badan yang rendah pada usia matang.

Menurutnya lagi, lembu Bali ini mempunyai tahap dan kadar kebuntingan yang tinggi iaitu mencapai 80-90%. Ini menjadikan kadar kelahiran adalah lebih tinggi.

Dr Zaidi merujuk pengalaman UPMKB sendiri dalam penternakan lembu Bali. Bermula Disember 2012, sejumlah induk asal yang dibeli iaitu sebanyak tiga ekor jantan dan 10 ekor betina dengan berat 98kg hingga 199kg seekor dengan umur antara satu tahun hingga satu tahun enam bulan.

Sehingga Ogos 2018 bilangan lembu yang telah diternak adalah berjumlah 45 ekor iaitu pertambahan 32 ekor bagi tempoh enam tahun dengan jumlah kematian sebanyak dua ekor sepanjang projek penternakan ini bermula.

Menurut beliau lagi, untuk mengenali ciri-ciri lembu Bali, terdapat perbezaan yang ketara boleh dilihat antara lembu lain dan juga antara jantina.

Lembu Bali jantan yang matang akan berwarna hitam atau kehitaman. Manakala lembu betina matang dan jantan muda akan berwarna merah-coklat.

Kedua-dua jantina ini mempunyai ciri-ciri istimewa di bahagian betis kaki iaitu terdapat seperti stokin berwarna putih.

Lembu Bali boleh mencapai ketinggian 1.7 meter. Perbezaan ketara juga adalah lembu Bali betina lebih kecil daripada lembu Bali jantan.

 Lembu Bali akan lebih jinak melalui sentuhan dan belaian secara langsung.
SENTUHAN: Lembu Bali akan lebih jinak melalui sentuhan dan belaian secara langsung.

Ini juga menjadikan berat lembu Bali jantan lebih berat daripada lembu Bali betina iaitu bagi jantan adalah 450kg hingga 500kg dan betina 300kg hingga 350kg.

Walaupun lembu Bali ini kelihatan seperti lembu, namun haiwan ini sebenarnya secara genetik adalah seperti Bison dan Seladang. Kedua-duanya menghasilkan anak jantan yang mandul apabila dikacuk dengan baka lembu.

Lembu Bali akan mencapai kematangan seks seawal umur 13 bulan dan membiak pada umur 16 bulan. Tempoh buntingnya seminggu lebih panjang berbanding lembu lain dan jarang berlaku kelahiran kembar.

Berat lahir anak jantan ialah sekitar 16 hingga 17kg manakala anak betina sekitar 14 hingga 15kg.

Pada usia anak lembu, sama ada jantan atau betina, ia akan bewarna merah-coklat. Warna bulu lembu Bali betina akan kekal sama sehingga dewasa.

Manakala bagi lembu Bali jantan, ia akan berubah warna bulu menjadi sedikit coklat kehitaman ketika usia 12 bulan. Warna kehitaman ini akan menjadi jelas apabila ia mencapai umur matang. Perubahan warna ini adalah sama seperti yang berlaku pada baka Seladang.

Mengikut pengalaman Dr Zaidi juga, lembu Bali tidak sesuai diurus secara kasar seperti lembu biasa. Sifatnya agak pemalu dan mudah stres. Apabila stres, lembu Bali boleh bertindak kasar hingga merempuh pagar atau dinding yang boleh menyebabkan kecederaan kepada lembu itu sendiri.

Walau bagaimanapun, ia boleh dijinakkan apabila diternak dengan kerap berhubung langsung dengan manusia.

Didapati juga lembu Bali yang matang lebih mudah dijual dalam keadaan hidup kerana berat yang lebih ringan berbanding lembu lain seperti Brahman. Ini memberi kelebihan bagi peternak yang masih kurang modal untuk memulakan usaha penternakan lembu.

Dari segi peratusan daging, lembu Bali mampu mencapai 45% daripada berat badan. Ini menjadikan lembu Bali berpotensi diternak sebagai lembu pedaging kerana mampu memberi pulangan yang tinggi.