Anda di sini

Sandra Bullock berjuang untuk terus hidup dalam filem Netflix ‘Bird Box’

Advertisement
 

PALING terkenal kerana filem komedi romantik, aktres yang memenangi anugerah Oscar, Sandra Bullock, terpaksa berjuang untuk terus hidup dalam filem aksi distopian yang gelap ‘Bird Box’.

Bullock, yang terkenal kerana ‘Miss Congeniality’ selain drama-drama ‘The Blind Side’ dan ‘Gravity’, membawa watak Malorie, seorang wanita yang terdesak untuk menjaga keselamatan dua orang anaknya daripada satu ancaman yang tidak kelihatan dan mendorong orang untuk membunuh diri.

Ketika mengadakan tayangan perdana bagi filem itu di Berlin, aktres berusia 54 tahun itu berkata walaupun dia biasanya bukan peminat filem seram, dia seronok menambah genre itu kepada portfolio kerjanya.

“Di sini kita ada perjalanan yang tidak mungkin berlaku tanpa kisah cinta yang rumit dan mendalam ini tentang sebuah keluarga dan komentari sosial mengenai apa yang semua kita rasa adalah keadaan dunia,” kata Bullock kepada Reuters dalam satu temu ramah baru-baru ini.

“Semua orang ada pendapat yang berlainan tentang apa yang sedang berlaku di dunia pada hari ini, jadi gabungan dua perkara itu adalah sesuatu yang amat unik sekali.”

Berdasarkan novel tulisan Josh Malerman pada 2014, ‘Bird Box’ menyaksikan Malorie membawa anak-anaknya untuk melakukan perjalanan yang berbahaya ke belantara, semua ditutup mata, tatkala mereka cuba melarikan diri daripada “lembaga tidak kelihatan yang memberi petanda buruk”, dan jika dilihat, ia boleh mengakibatkan kejadian yang buruk.

“Saya mendapati diri sangat gelisah, sangat marah, sangat hampa, panas baran dan saya tidak menyedari ia disebabkan oleh hakikat bahawa saya ditutup mata sehingga separuh perjalanan,” kata Bullock.

“Saya kata ‘Ya Tuhanku, ia adalah kerana saya tidak ada alat ekspresi saya sebagai pelakon’ ... Tetapi saya rasa pada akhirnya ... ia membantu memberikan rasa yang begitu tidak menentu kepada adegan-adegan tersebut berbanding jika saya ada lubang dibuat pada penutup mata saya dan saya dapat melihat dan saya berpura-pura tersandung dan buta.”

‘Bird Box’, sebuah filem Netflix yang diarahkan oleh pembuat filem dari Denmark, Susanne Bier, turut dibintangi aktres yang berlakon bersama Bullock dalam ‘Oceans’ Eight’, Sarah Paulson, dan pelakon John Malkovich. — Reuters

Advertisement