Anda di sini

Mengepalai Perusahan Sosial: Tiga Pengajaran Penting

 

Apakah itu kepimpinan? Itulah soalan utama yang menggerakkan idea di sebalik Leaderonomics tatkala saya mengetuai pasukan kecil yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang bervisi dan penuh semangat dalam usaha kami mengubah kehidupan di seluruh negara.

Kami telah melihat bagaimana program kepimpinan, apabila digerakkan di kawasan pedalaman, dapat membantu mengangkat dan mengubah komuniti-komuniti secara menyeluruh, dan memberi kesan kepada kehidupan mereka sehingga melangkaui jangkaan.

Mereka yang mengenali saya akan memberitahu yang saya menjadi tidak sabar apabila ada idea yang menerjah masuk ke kotak fikiran saya. Melihat kepada seorang atau dua orang anak muda yang berubah sehingga memberi kesan kepada seluruh komuniti, saya berfikir, “Kenapa nak berhenti pada seorang atau dua? Kenapa tiada perusahaan sosial yang melakukan ini untuk anak muda di seluruh negara?

Usahakannya sendiri, usah tunggu orang lain

Sudah pasti, saya kemudian berfikir sayalah yang patut memulakan perusahaan tersebut (kenapa nak tunggu orang lain, betul tak?). Jadi, saya pun bergabung dengan beberapa rakan sekerja yang terdorong dan kami bersetuju untuk menggabungkan kemahiran kami untuk tujuan yang lebih baik daripada apa yang kami lakukan untuk syarikat-syarikat multinasional sebelum ini.

Idea kami sebenarnya berkisar tentang berkhidmat bagi tujuan yang lebih besar daripada diri kami sendiri. Kami ingin membangunkan pemimpin, membina komuniti penyayang dan mengubah nasib bangsa, seorang demi seorang individu pada satu masa. Ramai juga yang mengatakan ia visi yang sukar dicapai. Akan tetapi, setiap perkara yang telah dicapai kini dianggap mustahil pada awalnya. Lihat saja pada kisah-kisah Neil Armstrong, Stephen Hawking, Rosa Parks dan Roger Bannister. Mereka ini adalah antara yang mencapai perkara yang dianggap mustahil.

Sepanjang 10 tahun ini, Leaderonomics telah mengecapi  kejayaan yang tidak terkira banyaknya, mengharungi beberapa kegagalan serta terpaksa menyesuaikan diri kepada perubahan di sepanjang perjalanan. Perjalanan yang dilalui tidaklah mudah, namun memberi kepuasan, dan secara peribadi, saya bersyukur kerana dipertemukan dengan mereka yang memberikan inspirasi, yang pernah, dan masih menjadi sebahagian daripada kisah kami di Leaderonomics.

Ketika saya memulakan perusahaan sosial ini, saya tidak mempunyai banyak pengetahuan bagaimana hendak menjalankannya. Memang saya mempunyai pengalaman berdekad lamanya ketika saya mengepalai syarikat-syarikat di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat seperti General Electric, Johnson & Johnson, dan NBC Universal tetapi ini betul-betul mencabar saya.   

Seperti biasa, saya meneruskan juga usaha menubuhkan perusahaan sosial ini. Saya lebih suka belajar dengan melakukan. Seorang rakan pernah memberitahu saya, “Awak ni jenis yang akan lompat keluar daripada kapal terbang dan kemudian fikirkan bagaimana membina payung terjun ketika sedang menjunam!”

Berkaitan: Tip Kepimpinan: Belajar Dengan Melihat Dan Melakukan

Dalam misi kami yang bermula pertengahan 2008, pasukan kepimpinan dipacu semata-mata oleh visi untuk membentuk kepimpinan di Malaysia. Bakat ada di merata tempat, dan saya rasakan yang anak muda tidak terdedah kepada pembangunan yang betul-betul akan membantu mereka berkembang maju.

Saya ingin mengubah itu. Jadi, selama 10 tahun ini, saya mengetuai perusahaan sosial di mana ahli-ahlinya, baik yang lama dan baharu, dengan bangganya menjadikan visi itu visi mereka juga. Mereka telah membantu kami membangunkan pemimpin di segenap peringkat, melalui pelbagai program dan inisiatif di sekolah, universiti atau menerusi kem kepimpinan kami yang popular. Kami juga mendekati syarikat dan institusi lain untuk membantu mendidik kepimpinan mereka dan mempertingkatkan pendekatan kepimpinan semasa mereka.

Segala yang kami lakukan memfokuskan kepada satu matlamat yang sama: membantu menjadikan Malaysia yang terbaik dengan cara membangunkan bakat kepimpinan hari esok dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dorongan untuk melihat sendiri bakat yang dimiliki mereka

Keadaan semasa tidak seharusnya mengekang perkembangan seseorang, terutamanya apabila mereka mempunyai potensi untuk berbakti kepada komuniti dan masyarakat secara umumnya.

Pengajaran penting dari pengalaman 10 tahun ini

Jadi, apakah yang saya pelajari daripada pengalaman mengetuai Leaderonomics sepanjang 10 tahun ini?

Berikut adalah tiga pengajaran penting yang telah membuka mata saya tentang mengikut nyala rasa dan menjadikan visi menjadi kenyataan:

1. Anda harus bersabar… juga tidak sabar

Tidak kira sama ada ketika menubuhkan cabang media atau platform pendidikan digital selepas itu, ada sahaja yang membisik kepada saya, “Awak perlu perlahankan langkah dan tunggu sebentar.”

Nasihat itu sememangnya berniat baik, tetapi saya tiada kesabaran untuk menunggu. Mengapa sesuatu perkara itu tidak boleh disiapkan dalam tiga bulan, tetapi memerlukan enam bulan? Mengapa perlu mempertimbangkan dengan berhati-hati sedangkan peluang yang baik sedang menanti? 

Saya mungkin tidak sabar untuk memulakan sesuatu kerja, tetapi saya ada kesabaran untuk mengerti perubahan tidak berlaku semalaman. Walaupun kita dapat menggerakkan sesuatu idea itu, kita harus memastikan yang ia berkesan, barulah kita dapat melihat hasilnya. Jika anda mengharapkan perubahan besar secara tiba-tiba, anda hanya akan kecewa.

KETIDAKSABARAN DI PERINGKAT MIKRO TETAPI KESABARAN DI PERINGKAT MAKRO.

2. Jangan takut pada kegagalan

Sekiranya kita takut pada kegagalan, ia pasti akan membuatkan anda hilang kepercayaan.

Dalam buku Dan Brown berjudul Origin (Asal), sebuah program kecerdasan buatan (AI) menerangkan kepada sahabat manusianya yang komputer mempunyai satu kelebihan jelas berbanding manusia: ia tidak berputus asa. Ia menghuraikan bagaimana ia akan gagal merungkaikan masalah berbilion kali tetapi keinginan untuk mencari penyelesaian tidak pernah pudar. Sebaliknya, manusia putus asa dengan cepat, dan itu sangat tidak mengujakan.

Bak kata Thomas Edison, ramai orang berhenti ketika kejayaan mula muncul. Kehidupan penuh dengan cabaran, rintangan dan halangan – segala susah payah akan terasa manis apabila kejayaan akhirnya muncul. Jangan takut pada kegagalan – belajar daripadanya, jadikan ia guru anda.

Berkaitan: Kegagalan Mendewasakan 3. Jangan lupa ‘Mengapa’ anda

Amat mudah bagi anda untuk terbawa-bawa dengan tugasan harian, mesyuarat dan komitmen lain apabila anda mengetuai organisasi, sehinggakan anda hilang perspektif mengapa anda memulakan pekerjaan itu pada mulanya.

Apabila saya berasa sedih atau bersikap kritis, satu suara akan muncul dan mengingatkan saya, “Ingat semula tentang sebab awak memulakan perjalanan ini… teruskan.”

Tatkala saya diingatkan tentang Sebab Leaderonomics ditubuhkan, ia membantu saya memfokus semula dan membaharui tenaga saya, bersedia untuk menghadapi cabaran berikutnya, mengetahui bahawa dengan mengatasinya akan membantu pasukan menghampiri usaha bagi merealisasikan visi tersebut.  

Penghargaan

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perjalanan menakjubkan ini dengan kami.

Seperti peribahasa Afrika yang berkata,

JIKA KITA INGIN CEPAT, PERGILAH SENDIRI; TETAPI JIKA KITA INGIN PERGI JAUH, PERGI BERSAMA-SAMA.

Saya menghargai semua orang yang saya ketemukan  sepanjang dekad ini yang pernah berkongsi pandangan, memberi sokongan dan bermurah hati dengan masa dan sumber. Kami tentu tidak dapat mencapai matlamat kami tanpa kebaikan, kasih sayang dan kemurahan hati anda semua. Penglibatan anda dalam perjalanan kami telah membantu mengubah lebih banyak kehidupan yang boleh anda bayangkan, dan dengan nada itu, saya hanya ada satu perkara lagi untuk diperkatakan… 

Ucap selamat kepada 10 tahun berikut dan seterusnya!

Moga-moga anda semua terus bersama-sama kami di Leaderonomics dalam kembara kami melahirkan transformasi bangsa melalui pembangunan kepimpinan, seorang demi seorang.

Sumber
Sumber
Tahun ini (2018), Leaderonomics menyambut ulang tahun ke-10. Sejak ditubuhkan pada 2008, organisasi sosial ini tetap bertekad kuat dalam usahanya mencapai transformasi bangsa melalui pembangunan kepimpinan seorang demi seorang. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Leading a social enterprise: Three key lessons I’ve learned during my 10 years