Anda di sini

Island Medical City bakal jadi hab perubatan pertama di Malaysia

Advertisement
 Chow (tengah) pada gimik pelancaran Majlis Pecah Tanah Pengembangan Island Hospital semalam. — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Chow (tengah) pada gimik pelancaran Majlis Pecah Tanah Pengembangan Island Hospital semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Island Medical City (IMC) di Lebuh Raya Peel dan Jalan Pierce di sini bakal menjadi hab perubatan pertama di Malaysia, lengkap dengan peralatan perubatan yang canggih dan kemudahan penjagaan tertiari terbesar dan tercanggih di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembangunan IMC merangkumi perluasan kemudahan perubatan semasa di Island Hospital yang terdiri daripada pusat perubatan dengan 600 katil, ‘suite’ perubatan serta hotel pelancongan perubatan sebagai sebahagian daripada kemudahannya.

“Sebagai salah satu pusat pelancongan perubatan terbesar di Asia Tenggara, projek ini akan menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang,” kata beliau.

“Pakar perubatan, terutama mereka yang mengamalkan profesion itu di seberang laut, kini mempunyai alasan untuk kembali ke tanah air untuk berkhidmat di Pulau Pinang. Ini peluang terbaik untuk menarik pakar yang telah meninggalkan negara,” katanya dalam ucapannya pada upacara pecah tanah projek  pembesaran Island Hospital, di sini semalam.

Jumlah projek dengan nilai pembangunan kasar hampir RM2 bilion, akan mengambil masa lima tahun untuk siap dengan fasa pertama dijangka siap pada awal 2021.

Chow berkata nilai ekonomi projek itu dijangka melebihi RM7 bilion yang manfaatnya meliputi industri lain, dan mewujudkan kemajuan yang mampan untuk Pulau Pinang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai empat bangunan di kawasan tanah yang dikategorikan sebagai bangunan warisan Kategori II di bawah senarai bangunan warisan negeri, Chow berkata bangunan itu dirobohkan dengan kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pada Jun tahun lepas, bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah menjual sebidang tanah seluas 2.6 hektar bernilai RM156 juta di Lebuh Raya Peel kepada Island Hospital Sdn Bhd untuk pembinaan projek bandar perubatan. — Bernama

Advertisement