Anda di sini

Melonjakkan sukan elektronik

Advertisement
 Afiq (kiri) dan jawatankuasa SESA bersama Abdul Karim (tengah) ketika memberi taklimat mengenai sukan elektronik di Kuching.
SUKAN ELEKTRONIK: Afiq (kiri) dan jawatankuasa SESA bersama Abdul Karim (tengah) ketika memberi taklimat mengenai sukan elektronik di Kuching.

KUCHING: Persatuan Sukan Elektronik (Esports) Sarawak (SESA) akan menganjurkan Expo Esports Sarawak yang akan diadakan di Pusat Beli-Belah Cityone Megamall di sini pada 7 hingga 9 Disember ini.

Pengasas dan Presiden SESA, Afiq Fadhil Narawi berkata pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung antaranya pertandingan permainan komputer, pengalaman VR, pertandingan PS4, Steaming & Casting, forum sukan elektronik dan dialog.

“Ini julung kalinya expo sukan elektronik diadakan di Sarawak dan bertujuan mewujudkan kesedaran dan mendidik masyarakat terutamanya ibu bapa dan sektor korporat tentang nilai-nilai sebenar dan peluang dalam industri sukan elektronik.

“Ia bukan sekadar permainan tetapi boleh dijadikan karier untuk menambah pendapatan kepada peminat-peminat sukan elektronik terutamanya golongan belia,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Afiq, terdapat sekitar 1.8 juta peminat sukan elektronik di Malaysia dan 35 peratus daripadanya berusia dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun.

“Ekspo ini juga seiring dengan inisiatif Digital Ekonomi Sarawak dan pertandingan sukan elektonik boleh menarik minat lebih 10 juta penonton atas talian untuk membuka peluang perniagaan digital.

“Pada masa sama, kita melonjakkan industri pelancongan dengan membawa pertandingan sukan elektronik antarabangsa dan persidangan di negeri ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee atas sokongan terhadap penganjuran ekspo tersebut.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penaja dan rakan-rakan strategik yang bersama dengannya menjayakan program tersebut.

Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman ‘Facebook’ Sarawak Esports Association atau dengan menghubungi Romario Ong di talian 016-7226448.

  • oleh
  • Advertisement