Anda di sini

PBT perlu beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat - Dr Sim

Advertisement
Dr Sim menyampaikan AMKTP 2018 bagi kategori Diamond kepada Kumpulan Kerja Pelaksanaan Pengurangan Sisa Pepejal Miri LA21 daripada Majlis Bandaraya Miri di Kuching, malam tadi
Dr Sim menyampaikan AMKTP 2018 bagi kategori Diamond kepada Kumpulan Kerja Pelaksanaan Pengurangan Sisa Pepejal Miri LA21 daripada Majlis Bandaraya Miri di Kuching, malam tadi.

KUCHING: Warga pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa memberi perkhidmatan terbaik dalam memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Prof. Dr Sim Kui Hian berkata kementerian mahukan PBT menawarkan perkhidmatan bagi memudahkan rakyat yang juga pelanggan.

“Jangan lihat dan tunggu saja, kita perlu rajin dan cepat bertindak terhadap apa jua aduan dan kehendak pelanggan.

“Meskipun kita hanya bekerja tujuh bulan setahun selepas ditolak hujung minggu, cuti umum dan cuti umum berbayar, namun kerajaan negeri tetap membayar gaji penuh 12 bulan setahun dan ditambah lagi dengan pemberian bonus baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (AMKTP) 2018, Sijil Penarafan Bintang PBT Sarawak 2017 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Dr Sim menyampaikan APC 2017 kepada salah seorang pegawai pada majlis anugerah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang diadakan di Kuching, malam tadi
Dr Sim menyampaikan APC 2017 kepada salah seorang pegawai, malam tadi

Sebagai tanda berterima kasih kepada kerajaan, beliau mohon agar warga PBT menjalankan tugas dan peranan mereka dengan lebih proaktif bagi memastikan organisasi itu terus relevan dihormati oleh masyarakat.

 “Jadi, kenali dan fahami peranan anda secara lebih meluas…Ini penting kerana anda (PBT) merupakan sebuah jentera pentadbiran kerajaan yang berada di barisan hadapan dan dekat dengan anggota masyarakat. 

“Oleh itu, anda perlu memastikan sistem perkhidmatan yang diberikan sentiasa responsif, informatif, cepat, telus dan berintergriti,” katanya.

Terdahulu, majlis menyaksikan seramai 235 pegawai daripada kementerian dan 23 PBT menerima APC  2017, 26 PBT Sarawak menerima sijil Penarafan Bintang 2017 dan sembilan PBT menerima AMKTP 2018 untuk Projek SMART Komuniti.

Hadir sama, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Bakrie Zaini serta tetamu jemputan lain.
 

  • oleh
  • Advertisement