Anda di sini

MBM lancar projek perintis Program Angkat Kampung Pesisir Sungai

Advertisement
 Peserta Program Angkat Kampung Pesisir Sungai  merakam gambar beramai-ramai.
KERJASAMA: Peserta Program Angkat Kampung Pesisir Sungai merakam gambar beramai-ramai.
 Sampah yang dikumpul diangkut menggunakan sampan di pesisir sungai Kampung Wireless.
BANYAK: Sampah yang dikumpul diangkut menggunakan sampan di pesisir sungai Kampung Wireless.
 Peserta membawa guni sampah ke tempat pembuangan sampah.
KUMPUL: Peserta membawa guni sampah ke tempat pembuangan sampah.

KAMPUNG Wireless dipilih sebagai projek perintis Program Angkat Kampung Pesisir Sungai oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada 24 November lepas.

Datuk Bandar Adam Yii berkata, program dilaksanakan bawah Kempen Cintai Sungai yang melibatkan kerjasama Junior Chamber International (JCI) Zon Miri.

Yii berkata, NGO iaitu JCI akan memilih sebuah kampung pesisir sungai untuk diangkat bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti bersama penduduk kampung dengan bantuan MBM dan agensi berkaitan.

“Program ini bukanlah ’one off programme’ sepertimana gotong-royong yang pernah dilaksanakan sebaliknya diadakan secara berterusan sehinggalah kampung yang diangkat menjadi kampung yang betul-betul bersih dan masyarakatnya mempunyai kesedaran dan semangat kepunyaan yang tinggi dalam memastikan kampung masing-masing sentiasa bersih,” jelas beliau.

Antara aktiviti ialah gotong-royong pembersihan seminggu sekali atau sekurang-kurangnya sebulan sekali yang dianjurkan secara bersama oleh NGO, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan MBM.

MBM menyediakan ‘communal bin’ atau tong sampah besar di kampung bagi memastikan sampah-sampah dibuang ke tempat yang sepatutnya.

Bagi melancarkan pelaksanaan gotong-royong, MBM juga menyediakan kemudahan logistik dan bahan gotong-royong seperti lori sampah, guni dan sebagainya.

Kempen juga merupakan usaha mewujudkan kerjasama MBM  dan rakan usaha sama khususnya NGO, agensi-agensi yang relevan dan penduduk kampung dalam menjadikan sungai Miri bersih dengan pelaksanaan program yang konsisten dan komprehensif.

Ia turut memberi pendidikan dan kesedaran kepada orang awam amnya dan penduduk pesisir sungai khususnya agar mempunyai rasa cinta dan rasa kepunyaan terhadap sungai dan persekitaran dengan menanam sikap dan tabiat menjaga kebersihan dan membuang sampah ke tempat yang sepatutnya.

“Baru-baru ini kita banyak melihat di surat khabar atau media sosial berkenaan sungai Miri serta pantai dicemari dengan sampah yang melahirkan persepsi negatif masyarakat luar dan tempatan.

“Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak atau masyarakat yang membuang sampah sebarangan atau tidak menguruskan sampah dengan sebaiknya telah mendatangkan imej yang tidak baik kepada bandar raya Miri,” jelas beliau.

Kempen melibatkan usaha sama NGO, JKKK dan pelbagai agensi yang relevan seperti Pejabat Residen, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bomba, Jabatan Kesihatan serta pelbagai agensi dan ahli Miri Local Agenda 21.

Pelbagai program telah dirancang dan diatur untuk memastikan kelestarian kempen agar memberi impak seterusnya menjadikan sungai Miri dan pesisir sungai bersih.

Dalam pada itu, sejumlah 2,162. 4 kilogram (kg) sampah sarap  dikutip dari sungai Miri di pesisir Kampung Wireless.

Aktiviti dijayakan lebih 200 peserta terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi, penduduk kampung dan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bermula jam 7 pagi sehingga tengah hari.

Selain kakitangan MBM, turut serta ialah kakitangan Pejabat Daerah Miri, NREB, JPS, LSSS, JAS, Pustaka, Persatuan  Pencinta Alam, RTM, Pejabat Belia dan Sukan, bomba, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemulihan Dadah Hornbills Home Miri, Jabatan Tanah dan Survei serta JCI Miri.

AADK dan Pusat Pemulihan Dadah Hornbill masing-masing mengutip sampah terbanyak iaitu 500kg dan 280kg.

Seorang peserta dikenali dengan nama Lek mengutip sampah sebanyak 163kg.

  • oleh
  • Advertisement