Anda di sini

Kes pekerja nafi simpan motosikal curi dibicara 23 dan 28 Januari depan

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 23 dan 28 Januari depan untuk perbicaraan kes seorang pekerja di sebuah kedai cuci kereta yang menafikan dua tuduhan dengan curang menyimpan dua motosikal curi.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM1,800 berserta dua penjamin tempatan bagi kes pertama dan jaminan RM2,000 berserta dua penjamin tempatan bagi kes kedua, sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat setelah tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Mohammed Shahbudin Saimi telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan serta tidak melebihi lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kes pertama, tertuduh telah dituduh dengan curang menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran QMQ17xx kepunyaan Alin Chayak, 21.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang, 1 November lalu di garaj sebuah restoran di Jalan Merbau di sini.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh telah dituduh dengan curang menerima atau menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal kepunyaan Mohd Norizam Abdullah @ Noddy Saidi, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 5.15 pagi, 30 Oktober lalu di sebuah lot di Jalan North Yu Seng di sini.   

Bagi kes pertama, mahkamah menetapkan 23 Januari 2019 untuk perbicaraan lanjut dan 28 Januari ditetapkan untuk perbicaraan bagi kes kedua.

Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement