Anda di sini

Curi motosikal, dua lelaki dibebas dengan bon berkelakuan baik

Advertisement

MIRI: Dua remaja lelaki masing-masing diperintahkan Mahkamah Juvana supaya dibebas dengan bon berkelakuan baik dua tahun dan jaminan RM6,000 berserta seorang penjamin kerana kesalahan mencuri sebuah motosikal kepunyaan seorang lelaki warga emas.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti pelbagai aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan mereka, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan, kepentingan awam serta laporan akhlak kedua-dua juvana terbabit yang dibentangkan oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri.

Dua juvana terbabit yang berusia 16 dan 13 tahun masing-masing dari Kampung Lusut dan Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua juvana terbabit didapati telah mencuri sebuah motosikal bernombor pendaftaran WGA57xx bernilai RM2,000 kepunyaan Ng Su Fong, 68.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 11 malam, 21 Oktober lalu di sebuah rumah sewa di Lusut Jaya 3 di sini.

Sementara dalam satu kes berasingan, mahkamah turut memerintahkan mereka dibebas dengan bon berkelakuan baik dua tahun dan jaminan RM6,000 berserta seorang penjamin setelah mengaku bersalah dengan curang memiliki sebuah motosikal curi.

Bagi kesalahan itu, kedua-duanya telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, mereka didapati dengan curang memiliki harta curi iaitu sebuah motosikal berwarna merah dengan nombor pendaftaran QMX68xx kepunyaan Shareen Ningkan, 26.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada jam 10.30 pagi, 25 Oktober lalu di sebuah lot di Kampung Lusut, Taman Tunku di sini.

Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping.

Advertisement