Anda di sini

17 Disember sebutan lanjut kes lelaki nafi sengaja cedera wanita

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang menafikan tuduhan dengan sengaja mencederakan seorang wanita menggunakan tong sampah dan pinggan.

Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan lanjut RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan pegawai pendakwa yang memohon ditetapkan tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu siasatan selesai.

Cantona Henry, 20, dari Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh dengan sengaja mencederakan seorang wanita, Maria Ajan, 21, dengan menggunakan tong sampah dan pinggan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang, 9 Februari tahun ini di sebuah rumah di Taman Permai, Jalan Dato Permaisuri, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Advertisement