Anda di sini

Liga Premier: Kuching FA masih tunggu lampu hijau daripada FAM

Advertisement
 Raymond (empat kiri) menyerahkan trofi kepada Fazzrudin sambil disaksikan Kamaludin (dua kanan), Alan (kiri) dan wakil penaja.
TROFI REBUTAN: Raymond (empat kiri) menyerahkan trofi kepada Fazzrudin sambil disaksikan Kamaludin (dua kanan), Alan (kiri) dan wakil penaja.

KUCHING: Pasukan Kuching FA masih menunggu lampu hijau daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membolehkan mereka bersaing dalam kancah Liga Premier pada tahun depan.

Menurut Pengurus Kuching FA Fazzrudin Abdul Rahman, pihaknya telah menghantar profil pasukan untuk dinilai pihak FAM dan ketika ini hanya menunggu keputusan muktamad daripada badan induk bola sepak negara itu.

“Kami telah menerima surat daripada FAM bahawa mereka sedang mempertimbangkan pasukan-pasukan untuk diserap dalam Liga Premier dan Kuching merupakan salah satu daripada pasukan tersebut.

“Mereka telah meminta kami menghantar dokumen-dokumen dan profil-profil pasukan untuk dipertimbangkan.

“Kriteria utama dilihat FAM adalah tiada masalah bayaran tertunggak kepada mana-mana pihak, tunggakan gaji kepada pemain, hala tuju persatuan dan kekuatan persatuan,” katanya pada sidang media Majlis penyerahan tajaan K-League LSC 2018 dan Pertandingan Bola Sepak Piala Abang Johari 2018 di sini semalam.

ADUN Tupong itu bagaimanapun berharap agar keputusan FAM dapat diketahui secepat mungkin kerana Kuching FA juga memerlukan masa untuk mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Liga Premier.

Ujarnya, jika terpilih Kuching FA akan menggunakan pelan ‘B’ sebagai persiapan menghadapi liga divisyen dua itu.

“Apapun, ketika ini Kuching FA sedang sibuk mempersiapkan diri menghadapai saingan Piala FAM 2019 kerana belum mendapat maklum balas daripada FAM,” katanya.

Menyentuh mengenai K-League LSC 2018 dan Pertandingan Bola Sepak Piala Abang Johari 2018, Fazzrudin berkata pihaknya akan menggunakan dua kejohanan itu untuk mencari pemain-pemain pelapis untuk diserap dalam pasukan Kuching FA 2019.

Pada masa sama, kejohanan itu juga digunakan untuk memilih pemain Kuching bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala Sarawak ADAP 40RTY dijadual berlangsung dari 27 hingga 31 Disember di Bintulu.

“Ini yang kita lakukan untuk memberi peluang kepada pemain tempatan bermain di liga yang lebih tinggi.

“Jika mereka bermain di liga tinggi ia akan membuka ruang kepada mereka dipilih mewakili pasukan Sarawak FA atau pasukan dari Semenanjung,” katanya.

Beliau turut merakam penghargaan ke atas pihak LEA Sports Centre kerana terus sudi menjalin kerjasama dengan Kuching FA untuk mengangkat martabat sukan bola sepak tempatan.

Hadir sama Pengarah Urusan LEA Sports Centre Raymond Sim Hee Pang, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching (KDFA) Kamaludin Akil dan Pengurus Besar Sara Urusharta Sdn Bhd Alan Poh.

Perlawanan akhir Pertandingan Bola Sepak Piala Abang Johari 2018 pada 9 Disember ini di Stadium Negeri, Petra Jaya bakal mempertemukan SSN Sarawak dan Belia Lundu.

Advertisement