Anda di sini

Firma Jepun diarah bayar pampasan kepada buruh paksaan Korea Selatan

Advertisement
 Kim Sung-joo (duduk tengah), mangsa buruh paksaan tentera Jepun sewaktu penjajahannya di semenanjung Korea dari 1910 hingga 1945, dan saudara-mara mangsa lain             menunjukkan reaksi selepas keputusan dibaca di Mahkamah Agung di Seoul semalam. — Gambar AFP
TERIMA PAMPASAN: Kim Sung-joo (duduk tengah), mangsa buruh paksaan tentera Jepun sewaktu penjajahannya di semenanjung Korea dari 1910 hingga 1945, dan saudara-mara mangsa lain menunjukkan reaksi selepas keputusan dibaca di Mahkamah Agung di Seoul semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Mahkamah tertinggi di Korea Selatan semalam mengarahkan sebuah syarikat industri berat gergasi dari Jepun untuk membayar pampasan berhubung buruh paksaan pada zaman perang – pengumuman terbaharu dalam siri keputusan yang dijangka akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara jiran itu.

Korea Selatan dan Jepun merupakan dua negara demokrasi dan sekutu Amerika Syarikat yang berdepan dengan jiran yang semakin agresif selain ancaman lama negara senjata nuklear Korea Utara.

Namun hubungan mereka sendiri masih dingin sejak sekian lama oleh pertikaian pahit mengenai sejarah dan wilayah yang berpunca daripada penjajahan Jepun yang kejam pada 1910-45 ke atas semenanjung Korea, dan buruh paksaan serta perhambaan seksual pada zaman penting adalah contoh penting.

Menurut data rasmi Seoul, kira-kira 780,000 warga Korea dikerahkan untuk menjadi buruh paksaan oleh Jepun sewaktu penjajahan selama 35 tahun, tidak termasuk wanita yang dipaksa menjadi hamba seks bagi tentera Jepun.

Di kalangan mereka yang dipaksa bekerja di kilang untuk syarikat Jepun, enam mangsa selamat memfailkan tindakan undang-undang ke atas The Mitsubishi Heavy Industries pada 2000 untuk mendapatkan pampasan.

Mahkamah Agung di Seoul semalam menegakkan keputusan mahkamah rendah bahawa syarikat itu harus membayar gaji atau ganti rugi bernilai 80 juta won (RM284,788) kepada setiap plaintif.

Mahkamah sama, dalam satu keputusan bagi kes sama yang berasingan semalam, turut mengarahkan Mitsubishi untuk membayar ganti rugi sebanyak 100 juta hingga 150 juta won kepada sekumpulan lima orang bagi buruh paksaan pada zaman perang di kilangnya.

Kedua-dua kumpulan itu memfailkan tindakan undang-undang di Seoul selepas mahkamah di Jepun menolak tuntutan mereka untuk mendapatkan pampasan.

Jepun berkata hak mangsa untuk menyaman dipadamkan oleh perjanjian 1965 yang menyaksikan Seoul dan Tokyo memulihkan hubungan diplomatik dan turut memuatkan pakej pampasan dalam bentuk geran dan pinjaman murah bernilai kira-kira AS$800 juta (RM3.2 bilion).

Namun keputusan mahkamah kebelakangan ini di Seoul - termasuk keputusan semalam - berhujah bahawa buruh paksaan bagi syarikat Jepun tidak dimasukkan ke dalam perjanjian yang kontroversi itu.

Mahkamah Agung lewat bulan lepas mengarahkan Nippon Steel & Sumitomo Metal untuk membayar pampasan bernilai 100 juta won kepada empat orang berhubung buruh paksaan sewaktu Perang Dunia II - keputusan yang mengundang kemarahan Tokyo. — AFP

Advertisement