Anda di sini

SMK Baru Miri lakar sejarah, rangkul naib juara Anugerah 3K

Advertisement
 Ruangan landskap sekolah yang dibina oleh pelajar-pelajar SMK Baru Miri.
CANTIK: Ruangan landskap sekolah yang dibina oleh pelajar-pelajar SMK Baru Miri.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Baru, Miri mencatat kejayaan membanggakan apabila dipilih sebagai naib johan Anugerah 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) peringkat kebangsaan 2018 pada majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum ini, sekolah itu turut dinobatkan sebagai juara anugerah yang sama peringkat negeri.

Kemenangan di peringkat kebangsaan itu melayakkan sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000 manakala RM1,000 lagi untuk kemenangan di peringkat negeri.

 SMK Baru Miri turut menjuarai pertandingan patrol denggi peringkat negeri dan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.
BANGGA: SMK Baru Miri turut menjuarai pertandingan patrol denggi peringkat negeri dan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.

Anugerah ini dianjurkan bersama Dutch Lady dan Kementerian Pendidikan Malaysia bertujuan mewujudkan persekitaran yang cemerlang untuk pelajar dan warga sekolah dengan memberi penumpuan kepada tiga aspek penting iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

Program ini juga dibentuk untuk memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah murid, persekitaran fizikal sekolah, prestasi akademik dan kehadiran murid.

 Kebersihan kantin sekolah SMK Baru Miri turut memberikan kelebihan kepada sekolah itu untuk memenangi Anugerah 3K.
BERSIH: Kebersihan kantin sekolah SMK Baru Miri turut memberikan kelebihan kepada sekolah itu untuk memenangi Anugerah 3K.

Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) Amanda Chong Lee Ngo berkata, kemenangan itu adalah hasil kerjasama semua pihak sekolah sepanjang tahun bermula Januari lalu untuk memenuhi kriteria sekali gus memenangi anugerah.

Menurut Amanda, pihak sekolah mengambil masa setahun untuk membuat persiapan dan persediaan ditingkatkan untuk beberapa bulan terakhir.

Satu faktor yang menyumbang kemenangan sekolah ialah kemudahan kantin yang mengutamakan konsep 3B iaitu bersih, berkhasiat dan bermaklumat.

“Kantin ini merupakan kantin sekolah yang pertama di daerah Miri mendapat anugerah kantin BESS iaitu bersih, selamat dan sihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia dipantau setiap hari oleh guru-guru bagi memastikan menu jualan memenuhi kriteria makanan sihat.

 Keadaan tandas sekolah yang bersih dan cantik.
BERSIH: Keadaan tandas sekolah yang bersih dan cantik.

“Di samping itu, setiap meja di kantin dipamerkan dengan maklumat pengetahuan am dan aspek kebersihan mesti meliputi kebersihan pekerja, kebersihan dapur, penyediaan dan penghidangan makanan,” katanya kepada Utusan Borneo baru-baru ini.

Untuk keselamatan, pihak sekolah memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan sistem perakam cap jari (thumbprint) untuk merekod penggunaan tandas dalam kalangan pelajar.

“Ini dapat meningkatkan aspek keselamatan pelajar dengan memantau pergerakan pelajar ke tandas dan merekod penggunaan tandas dalam kalangan pelajar. Selain itu mengurangkan kes salah laku seperti laku musnah dan ponteng di dalam tandas,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan pergi dan balik sekolah, pihak sekolah menetapkan laluan khas untuk pelajar datang dan balik,  ‘zebra crossing line’ di dalam kawasan sekolah, bonjolan di sepanjang jalan masuk sekolah, mengamalkan budaya letak kereta secara mengundur dan kon besar di sepanjang jalan utama depan sekolah untuk memastikan kereta tidak ‘u-turn’ di depan sekolah.

“Kita juga meletakkan arahan keselamatan 3K wujud di kawasan sekolah dan di setiap bilik. Selain itu pelan kontigensi dan polisi keselamatan menghadapi kebakaran yang lengkap terdapat di setiap kawasan sekolah.

 Penggunaan sistem imbasan ibu jari di tandas untuk memantau keselamatan pelajar.
CANGGIH: Penggunaan sistem imbasan ibu jari di tandas untuk memantau keselamatan pelajar.

“Selain itu kerjasama dengan pihak luar seperti Petronas dan MIOSH untuk mendapatkan khidmat nasihat kepakaran dalam meningkatkan aspek keselamatan sekolah,” katanya lagi.

Dari segi kebersihan, sekolah mengadakan pertandingan kebersihan dan keceriaan kelas sepanjang tahun.

Setakat ini sekolah ada taman 3K di bawah unit beruniform yang diwujudkan mengikut tema seperti taman herba dan taman kaktus.

Pihak sekolah turut bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), bomba, Majlis Bandaraya Miri dalam program gotong- royong.

Di samping itu sekolah juga bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk projek pondok orkid dan taman kelulut.

Bagi menggalakkan amalan kitar semula, pihak sekolah menyediakan tong sampah kitar semula dan enam bakul khas untuk tin minuman di kawasan sekolah.

Amanda menambah, untuk program kesihatan, pihak sekolah menjemput jurulatih khas menjalankan aktiviti kesihatan dua kali seminggu untuk guru sekolah di bawah program ‘Fat to Fit’.

“Pihak sekolah mengambil peranan aktif dalam pencegahan denggi, malah kita mendapat johan dalam pertandingan patrol denggi peringkat negeri dan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Selain itu ceramah berkaitan antimerokok, pengurusan emosi, penyakit denggi dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Bahagian Miri diadakan dari semasa ke semasa.

Amanda memberitahu, penilaian dibuat secara komphrensif dan menekankan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan menyeluruh meliputi kawasan tumpuan utama seperti kantin dan tandas.

Sementara itu Pengetua Jerrah Pandin berkata, ia merupakan kebanggaan kepada sekolah tersebut dan beliau berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencapai kejayaan itu.

Beliau berharap ia dapat menjadi pembakar semangat untuk sekolah terus berusaha meningkatkan prestasi dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

  • oleh
  • Advertisement