Anda di sini

Sarawak sedia bantu tangani penyakit lada

Advertisement
 Uggah dan Kok (dua kiri) yang tiba untuk menghadiri Dialog Awam Bersama Pemegang Taruh dan Penggiat Industri Lada di Kuching, malam kelmarin.
HADIR: Uggah dan Kok (dua kiri) yang tiba untuk menghadiri Dialog Awam Bersama Pemegang Taruh dan Penggiat Industri Lada di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Jabatan Pertanian Sarawak bersedia membantu dan bekerjasama dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) dalam usaha menangani isu penyakit lada di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jabatan pertanian juga mempunyai rekod dalam penyelidikan lada sebelum diambil alih oleh MPB.

“Kita dimaklumkan MPB di Sarawak hanya mempunyai 44 pegawai stesen seluruh negeri dan kita tahu bukan senang untuk merekrut tenaga kerja.

“Maka saya ingin membincangkan perkara ini bersama Yang Berhormat Menteri Industri Utama (Teresa Kok) kerana Jabatan Pertanian Sarawak mempunyai tenaga kerja yang ramai dari Lundu hingga ke Limbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menghadiri Dialog Awam Bersama Pemegang Taruh dan Penggiat Industri Lada yang dihadiri Kok dan Pengerusi MPB Larry Sng di sini, malam kelmarin.

Uggah menjelaskan, isu penyakit lada telah merebak di seluruh negeri ini dan menurut anggaran MPB, ia mengalami kerugian yang amat besar disebabkan perkara itu.

Selain itu katanya, antara yang perlu dilihat kementerian melalui MPB juga adalah berkaitan penggunaan jenama Lada Sarawak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya ia merupakan isu yang harus diberi perhatian memandangkan Lada Sarawak merupakan antara lada kelas pertama dunia, tetapi ada yang mengambil kesempatan menggunakan jenama itu.

“Mereka meletakkan nama Lada Sarawak tetapi dalam produk yang dijual itu adalah lada dari tempat lain dan tidak sama kualiti dengan Lada Sarawak,” tegasnya maka adalah berbaloi jika harga Lada Sarawak tinggi.

Beliau dengan itu berharap MPB akan lebih ketat dari segi peraturan berkenaan bagi mengelakkan masalah itu terus berleluasa.

Uggah pada masa yang sama mencadangkan kepada Menteri Industri Utama supaya menubuhkan jawatankuasa antara kedua-dua kementerian.

“Ini supaya apa-apa masalah yang melibatkan komoditi dapat berbincang bersama demi kepentingan penggiat industri terutama pekebun dalam menangani semua masalah dihadapi,” katanya.

Beliau juga menggesa kepada kementerian agar menyediakan sistem bantuan atau jaringan keselamatan sosial kepada penanam lada semasa harga komoditi itu turun.

“Saya bagi pihak penanam lada di Sarawak yang lebih daripada 30,000 orang memohon kepada Yang Berhormat Menteri (Teresa Kok) memikirkan satu jaringan keselamatan sosial seperti pekebun getah.

“Kita telah mencadangkan perkara ini sebelum ini khasnya apakah tindakan kerajaan (pusat) untuk menentukan bahawa apabila harga lada turun seperti sekarang, kita ada sistem yang membantu meringankan beban penanam lada,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement