Anda di sini

Perlu ada sistem bantuan kepada penanam jika harga lada turun

Uggah (kiri) bersama Kok (dua kiri) semasa tiba menghadiri dialog awam bersama pemegang taruh dan penggiat industri lada di sini, malam tadi.

KUCHING: Kementerian Industri Utama digesa untuk menyediakan sistem bantuan atau jaringan keselamatan sosial kepada penanam lada semasa harga komoditi itu turun.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan itu digunakan kerajaan sebelum ini kepada pekebun getah semasa harga getah turun.

"Saya bagi pihak penanam lada di Sarawak yang lebih daripada 30,000 orang memohon kepada Yang Berhormat Menteri (Teresa Kok) memikirkan satu jaringan keselamatan sosial seperti pekebun getah.

"Kita telah mencadangkan perkara ini sebelum ini khasnya apakah tindakan kerajaan (pusat) untuk menentukan bahawa apabila harga lada turun seperti sekarang, kita ada sistem yang membantu meringankan beban penanam lada," katanya berucap pada majlis Dialog Awam bersama Pemegang Taruh dan Penggiat Industri Lada bersama Menterinya, Teresa Kok di sini, malam tadi.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menegaskan, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan agar industri lada di Sarawak terus berkembang.

Jelas beliau, ia kerana kerajaan negeri menyedari bahawa industri bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada Sarawak tetapi KDNK negara.

"Malahan industri lada ini telah membasmi kemiskinan kepada lebih 30,000 penanam lada di Sarawak. Jika penanam menanam kira-kira 1,000 pokok lada mereka dianggarkan boleh meraih RM10,000 sebulan.

"Itu jika harga berada pada tahap baik tetapi lain jika harga lada turun, kita bimbang ada penanam akan membiarkan lada-lada ini," katanya.

Uggah menegaskan beliau tidak mahu masalah yang dihadapi pada tahun 1990-an dahulu berlaku lagi apabila harga lada turun sehingga RM2 sekilo, ramai dikalangan penanam lada membiarkan tanaman mereka mati begitu sahaja.

Dimaklumkan, sebelum ini harga lada mampu mencecah RM50,000 satu tan tetapi kini paras harga lada berada pada RM8 sekilo berbanding RM50 sekilo sebelum ini bagi lada hitam sementara RM15 sekilo yang turun daripada RM50 (lada putih).