Anda di sini

Kerajaan cuba bersikap adil agih insentif kepada semua pemenang pingat SUKMA

Advertisement

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa kerajaan negeri cuba bersikap adil dalam pengagihan insentif kepada semua atlet Sarawak yang memenangi pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) lalu.

“Kita tidak dapat memuaskan hati semua orang tetapi perlu bersikap adil dalam pemberian insentif. Pada SUKMA lepas, Sarawak memberi RM5,000 kepada pemenang pingat emas, RM750 kepada pemenang perak dan RM500 kepada pemenang gangsa.

“Jurang insentif antara pingat emas dan perak atau gangsa terlalu besar sedangkan atlet yang memenangi perak dan gangsa juga berusaha untuk berada di atas podium.

“Pada tahun ini, untuk berlaku adil kepada semua pemenang pingat, kerajaan negeri dan kabinet telah bersetuju menyamai jumlah insentif diberi negeri-negeri yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding kita seperti Terengganu dan Selangor di mana pemenang emas mendapat RM3,000, perak RM2,000 dan gangsa RM1,000,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, jumlah insentif tersebut juga sama seperti yang diberikan Terengganu yang muncul juara keseluruhan SUKMA XIX Perak pada September lalu.

Sehubungan itu, Karim berharap atlet tidak lagi mempersoalkan jumlah insentif yang diagihkan kerana kerajaan negeri telah meneliti dari setiap sudut sebelum menetapkan jumlah yang akan diberi.

Beliau menambah, atlet sepatutnya bertanding untuk mengharumkan nama Sarawak dan bukan semata-mata mengejar ganjaran kewangan.

“Apa jua insentif yang diberikan harus dilihat sebagai ganjaran daripada kerajaan negeri. Sumbangan mereka dalam mewakili Sarawak amat dihargai dan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

“Pemenang emas mungkin agak kecewa namun pemenang perak dan gangsa sudah pasti gembira. Mereka juga berjuang untuk negeri. Bagaimana pula atlet yang gagal memenangi pingat dan menerima insentif?

“Mereka juga membuat persiapan dengan gigih untuk mewakili Sarawak namun kerana gagal menaiki podium, mereka ‘disisihkan’,” ujar Abdul Karim lagi.

Beliau juga berharap semua atlet yang menerima insentif bersyukur dan menghargai pemberian kerajaan negeri atas usaha mereka.

Isu ketidakpuasan berhubung pengagihan jumlah insentif disuarakan enam atlet olahraga Sarawak yang merupakan pemenang pingat emas pada SUKMA Perak lalu dalam satu portal berita dikeluarkan semalam.

Mereka menyuarakan rasa kecewa kerana Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) gagal mengotakan janji untuk memberikan insentif sebanyak RM5,000 bagi pingat emas pertama dan RM7,000 bagi pingat emas kedua seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Majlis penyampaian insentif kepada semua pemenang pingat telah diadakan pada Sabtu lepas.

Advertisement