Anda di sini

‘Kokeshi doll’, permainan tradisional kanak-kanak Jepun

Advertisement
 Pelbagai bentuk, saiz dan mempunyai ekspresi wajah berbeza, kebanyakannya masih mengekalkan ciri asas iaitu kepala dan badan, tanpa kaki dan tangan di Jepun. — Gambar Bernama
BENTUK: Pelbagai bentuk, saiz dan mempunyai ekspresi wajah berbeza, kebanyakannya masih mengekalkan ciri asas iaitu kepala dan badan, tanpa kaki dan tangan di Jepun. — Gambar Bernama

SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke ‘Ganguan Kokeshi Shop’ yang terletak di Akiu Craft Park, wilayah Miyagi di Jepun, mata penulis terus terpandang kepada deretan anak patung kayu yang disusun rapi menghiasi segenap ruang premis itu.

Cantik dan penuh

nilai seni!

Walaupun pelbagai bentuk, saiz dan mempunyai ‘ekspresi wajah’ berbeza, kebanyakannya masih mengekalkan ciri asas iaitu kepala dan badan, tanpa kaki dan tangan.

Kebanyakannya membawa watak gadis Jepun yang comel dengan rambut hitam, pipi dan bibir merah, saiz mulut yang kecil serta lakaran baju seperti kimono.

Dengan rona merah dan hitam sebagai elemen utama, itulah karakter yang disebut sebagai ‘kokeshi doll’ atau anak patung kayu Jepun.

 SEJARAH

KOKESHI DOLL

 Ganguan Kokeshi Shop yang terletak di Akiu Craft Park, wilayah Miyagi, Akira dan isteri Hideko di Jepun. — Gambar Bernama
KOLEKSI: Ganguan Kokeshi Shop yang terletak di Akiu Craft Park, wilayah Miyagi, Akira dan isteri Hideko di Jepun. — Gambar Bernama

Pemilik kedai dan bengkel itu, Akira Suzuki, 58, dan isteri Hideko Suzuki, 53, begitu mesra menyambut kami.

Kunjungan ke premis pasangan itu adalah sebahagian daripada program untuk peserta Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS 2018).

Akiu Craft Park adalah perkampungan yang menempatkan pengusaha kraf tradisional Jepun.

Bukan sahaja bersih malah suasana dan pemandangan semula jadi pohon pelbagai warna cukup indah dan mendamaikan jiwa.

Dengan bantuan koordinator program, Kajihara Akiko sebagai jurubahasa, Akira yang berasal dari wilayah berkenaan, menerangkan kepada kami serba sedikit mengenai sejarah kokeshi doll.

 Peserta program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS 2018) sedang menghasilkan kokeshi masing-masing sewaktu kunjungan ke Ganguan Kokeshi Shop yang terletak di Akiu Craft Park, wilayah Miyagi di Jepun. — Gambar Bernama
MENBUAT KOKESHI: Peserta program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS 2018) sedang menghasilkan kokeshi masing-masing sewaktu kunjungan ke Ganguan Kokeshi Shop yang terletak di Akiu Craft Park, wilayah Miyagi di Jepun. — Gambar Bernama

Kata Akira, kokeshi doll sebenarnya adalah permainan tradisional kanak-kanak perempuan Jepun.

Namun, seiring perubahan masa ia kini lebih mendapat sambutan sebagai barang hiasan, koleksi yang dikumpul peminat seni kraf tradisional serta cenderamata yang menjadi antara simbolik negara Matahari Terbit itu.

Wujud kira-kira 300 tahun dahulu, anak patung kayu kokeshi adalah antara keistimewaan yang terdapat di rantau Tohoku, kawasan yang terletak di bahagian timur laut Pulau Honshu yang juga pulau terbesar di Jepun.

“Saya adalah generasi ketiga yang membuat anak patung kayu kokeshi yang merupakan warisan datuk dan ayah saya.

Sebelum ini ia dihasilkan sebagai permainan kanak-kanak.

Kanak-kanak lelaki bermain gasing sementara kanak-kanak perempuan bermain anak patung kayu kokeshi ini.

“Ada pelbagai gaya, bentuk dan corak.

Sebagai contoh, anak patung kayu kokeshi Sendai dibuat dengan bentuk yang langsing supaya kanak-kanak dapat memegangnya dengan mudah.

Anak patung itu mempunyai lirik mata yang lembut dengan hiasan bunga kekwa sebagai pakaian,”  kata Akira pada awal perbualan.

Terdapat dua jenis kokeshi doll iaitu tradisional dan moden.

Anak patung kayu tradisional mempunyai ciri-ciri tertentu dalam aspek reka bentuk, warna, si pembuatnya serta sentiasa melambangkan kawasan atau tempat ia dihasilkan sementara yang moden pula dihasilkan dengan lebih santai dan bebas bahkan dikatakan lebih kreatif kerana tidak terikat dengan ‘syarat-syarat’ tertentu.    

‘DIY’ KOKESHI DOLL

 Akira mempelajari ‘Enakichi-style Kokeshi’ daripada bapanya dan pernah memenangi Anugerah Perdana Menteri dalam pertandingan Kokeshi seluruh Jepun pada 2015 serta pelbagai anugerah dalam Pertandingan Kokeshi Kebangsaan yang merupakan acara tahunan.

Pakar membuat kokeshi tradisional, beliau pada masa sama turut menghasilkan kokeshi comel atau dalam bahasa Jepun ‘kawaii kokeshi’ dengan mengekalkan ciri-ciri tradisional dalam setiap rekaannya.  

 Pakar membuat kokeshi yang terletak di Akiu Craft Park, wilayah Miyagi, Akira (kanan) dan Kajihara yang bertindak sebagai jurubahasa di Jepun. — Gambar Bernama
JURUBAHASA: Pakar membuat kokeshi yang terletak di Akiu Craft Park, wilayah Miyagi, Akira (kanan) dan Kajihara yang bertindak sebagai jurubahasa di Jepun. — Gambar Bernama

Semasa kunjungan itu kami turut berkesempatan menunjukkan kebolehan kami untuk menghasilkan anak patung kayu kokeshi ini.

Semua peserta JENESYS 2018 diminta duduk di kerusi dan meja yang siap disediakan peralatan melukis kokeshi doll.

Terdapat berus, cat berwarna merah dan hitam, pewarna merah jambu serta putik kapas.  

Alangkah terujanya apabila diberitahu kami boleh menghasilkan kokeshi doll sendiri mengikut kreativiti tersendiri.

Semua peserta ‘memilih jalan selamat’ apabila mengambil kokeshi doll kosong (belum dilukis) bersaiz kecil.

Dengan harapan, ia lebih mudah untuk disiapkan selain sesuai untuk pelukis amateur!

Akira kemudiannya menerangkan kepada kami langkah melukis kokeshi doll sambil merujuk kepada manual di papan putih.

Terdapat enam peringkat asas kesemuanya.

“Mula-mula tarik nafas dalam-dalam dan tahan! Lukis kening dan garisan untuk membuat mulut dan hidung.

Ini gaya rambut yang biasa untuk anak patung kayu kokeshi, ia cukup popular sebagai gaya rambut kanak-kanak perempuan Jepun, khususnya di masa lampau.

“Satu lagi ciri kokeshi doll ialah mulut yang kecil.

Untuk orang Jepun, mulut kecil dianggap lebih cantik.

Ramai anak gadis mewarna bibir dengan gincu di bahagian tengah sahaja dan bukan seluruh bibir.

Samalah juga dengan kokeshi doll,” katanya sambil menambah langkah seterusnya ialah melukis aksesori rambut serta baju kokeshi doll yang lazimnya mengambil corak bunga kimono.

Beliau turut berpesan agar kami tidak mencampurkan berus, (satu berus untuk satu warna cat).

Menurut Akira pewarna merah jambu digunakan untuk melukis pemerah pipi bagi menjadikan kokeshi doll lebih comel dan menarik.

“Jika anda buat silap (semasa melukis dan mewarna), anda boleh warnakan keseluruhan wajah kokeshi doll menggunakan warna hitam dan jadikannya sebagai rambut.

Anda boleh gunakan bahagian yang sebelah lagi sebagai muka.

“Gaya muka dan pakaian terpulang kepada pilihan anda.

Tapi harus ingat anda tak boleh dua kali gagal dalam membuat kokeshi doll,” kata Akira sambil ketawa dan mengucapkan ‘gambate’ yang bermaksud ‘semoga berjaya’ kepada kami.

 DEKATI SENI

BUDAYA JEPUN

 Sememangnya setiap peserta begitu bersemangat menghasilkan kokeshi doll ‘versi sendiri’, pelbagai gaya dan rupa.

Meskipun nampak mudah, tetapi bukanlah seperti disangka. Apatah lagi jika bukan ‘tangan seni’, pasti hasilnya jauh berbeza dengan yang pakar.

Namun yang penting, setiap kami merasai pengalaman menghasilkan kokeshi doll yang begitu dekat di hati masyarakat Jepun di samping berpeluang memahami seni, tradisi dan budaya mereka.

“Selepas selesai proses melukis, tulis nama anda di bahagian bawah atau di bahagian belakang.

Keseluruhan badan kokeshi doll ini akan dilitupi lakuer untuk menjadikannya cantik dan berkilat, “ kata Akira yang bertanggungjawab memberi ‘sentuhan terakhir’ kepada kokeshi doll kami.

Selesai semuanya, beliau memanggil kami untuk mengambil kokeshi doll masing-masing.

Rupa-rupanya kami bukan sahaja berpeluang melukis sendiri kokeshi doll, bahkan boleh membawanya pulang sebagai cenderahati dan tanda kenang-kenangan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu juga sempat berpesan kepada kami, “tidak kira bagaimana rupa kokeshi doll yang dihasilkan, ia tetap istimewa dan unik kerana menjadi satu-satunya di dunia (seni setiap individu adalah berbeza)”. — Bernama

Advertisement