Anda di sini

MTDC anjur ReUnites II: Unconference tumpu pada Industri 4.0 dan Robotik

Advertisement
  Norhalim bersama para perserta Persidangan MTDC Reunite II 2018 bertemakan ‘Unconference - Industry 4.0 and Robotics’ di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
INDUSTRI ROBOTIC: Norhalim bersama para perserta Persidangan MTDC Reunite II 2018 bertemakan ‘Unconference - Industry 4.0 and Robotics’ di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menganjurkan siri reunites keduanya, ReUnites II: Unconference-Industri 4.0 dan Robotik yang menumpukan kepada Industri 4.0 dan robotik, blockchain dan kecerdasan buatan (AI) sebagai agenda utamanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata format MTDC ReUnites II: Unconference berbeza daripada ReUnites sebelumnya kerana ia dijalankan dengan lebih santai dan para peserta dapat berinteraksi bersama penceramah dengan pandangan mereka sendiri mengenai topik yang dibincangkan.

“Unconference adalah acara yang disusun secara teratur, berstruktur dan digerakkan oleh orang yang menghadirinya. Semua peserta dan penganjur digalakkan untuk menjadi peserta dengan pemimpin perbincangan menyediakan penyelarasan dan struktur bagi hadirin,” katanya pada sidang akhbar di persidangan tersebut, di sini, semalam.

Beliau berkata penceramah daripada Intel Corporation, Universiti Teknologi Malaysia dan Aroma Software yang pakar dan berpengetahuan dalam bidang masing-masing akan berucap pada acara itu.

Persidangan yang berlangsung dari 23-25 Nov itu terbuka bagi syarikat penerima dana MTDC dan syarikat pemula niaga terpilih yang menumpukan kepada teknologi dan Industri 4.0.

Norhalim berkata MTDC menggalakkan usahawan tekno tempatan menghadiri ReUnites kerana ia memberikan peluang kepada mereka untuk menjalin rangkaian dan yang paling penting adalah dapat berkongsi kisah kejayaan sesama mereka.

“Kami menjangka aktiviti ReUnites akan mengukuhkan hubungan kami dan memacu syarikat untuk terus berjaya,” katanya.

Kira-kira 100 peserta akan berpeluang untuk menjalin rangkaian dengan usahawan dan menimbang semula kepentingan kerjasama dan dinamik berpasukan dalam usaha mereka mencapai kejayaan perniagaan.

MTDC menawarkan pengkomersialan dana penyelidikan dan pembangunan, dana pemerolehan teknologi, dana pemula niaga, dana pertumbuhan perniagaan dan dana pembangunan teknologi halal bagi membantu syarikat dan usahawan di tahap pelaksanaan perniagaan yang berbeza. — Bernama

Advertisement