Anda di sini

Dewi Remaja kembali lagi eksklusif di Astro Ria, Ria HD malam ini

Advertisement

LEBIH tiga tahun telah berlalu sejak pencarian Dewi Remaja terakhir yang telah menobatkan pelakon dan selebriti tempatan, Farza Naquraisha Rizrose, 22 atau lebih dikenali sebagai Raysha Rizrose.

Dan seperti yang diumumkan oleh 12 para finalis semasa konsert akhir Gegar Vaganza musim kelima pada minggu lepas, program Dewi Remaja 2018/2019 akan menemui penonton mulai malam ini, 25 November 2018, secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 10.30 malam.

Hadir dengan tema ‘Pesonakan Bintangmu’, Dewi Remaja bukan saja mencari sekumpulan gadis remaja yang memiliki pakej rupa paras dan fizikal yang positif. Ia juga menjadi platform untuk mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti menarik sekaligus meneruskan legasi yang dijayakan oleh peserta Dewi Remaja terdahulu.

Sejak pencarian pertama pada tahun 1985, antara yang pernah memegang gelaran ini adalah Tengku Anis Tengku Ismail (Dewi Remaja 1985/86), Aleeza Kassim (Dewi Remaja 1987/88), Jasmeen Dhillon (Dewi Remaja 1990/91), Wan Khatijah Wan Othman (Dewi Remaja 1994/95), Juliana Banos (Dewi Remaja 1997/98), Annahita Bakavoli (Dewi Remaja 2002/03), Scha Al-Yahya (Dewi Remaja 2005/06), Noor Neelofa (Dewi Remaja 2009/10) dan Raysha Rizrose (Dewi Remaja 2014/15).

Seramai 20 orang calon peserta Dewi Remaja telah terpilih untuk saringan akhir pada edisi kali ini namun hanya 12 orang sahaja yang akan memenuhi slot selaku finalis.

Pakej komersial lengkap yang merangkumi latar belakang menarik, persona dan potensi yang mereka miliki bakal menjadikan penganjuran kali ini sebagai antara edisi paling menarik untuk diikuti.

Dua belas finalis ‘Pencarian Dewi Remaja 2018/2019’ yang berjaya diserap masuk adalah HANEESYA HANEE (18, Kuala Lumpur), TIA SHAH (18, Selangor), ANNA JOBLING (18, Kuala Lumpur), ARY (19, Selangor), RANIA (19, KUALA LUMPUR), LYDIA (20, Sabah), AWEEN (20, Kelantan) RASYA (22, Selangor), ZEERA (22, Selangor), SHERIN (23, Selangor), ERNISHA (23, Selangor) dan FAZ (20, Johor).

Melalui paparan lapan episod, program Dewi Remaja 2018/2019 akan menampilkan Dewi Remaja 2005/2006, Scha Al-Yahya sebagai pengacara manakala pelakon-produser Datuk Hans Isaac dilantik selaku juri tetap pada setiap minggu.

Ini adalah kerjasama kali kedua berturut-turut di antara pihak produksi dan Scha Al-Yahya selepas selebriti tersebut muncul sebagai pengacara program Pencarian Hero Remaja 2017; sekaligus meneruskan legasi di kalangan famili Hero Remaja dan Dewi Remaja.

Selain daripada paparan di layar kaca, program pencarian ini turut mendapat liputan menyeluruh dan terkini melalui laman digital serta sosial media Majalah Remaja.

Melalui paparan video yang menampilkan pengacara digital Safwan Nazri, penonton dan pengikut setiap peserta dapat menonton perjalanan para peserta, juri dan aktiviti yang berlangsung secara pantas. Manakala perkembangan terkini termasuklah paparan video dan temu ramah eksklusif mengenai penganjuran Dewi Remaja 2018/2019 juga turut boleh diikuti di ERA selaku radio rasmi.

Bagi mengikuti info terbaru mengenai Dewi Remaja 2018/2019, peminat boleh kunjungi laman web www.remaja.my/dewi, Facebook [dewiremaja] dan Insta-gram [majalahremaja].

Advertisement