Anda di sini

Tun Sakaran bersara selepas 24 tahun terajui Usia

Advertisement
SAKARAN buat kali terakhir bersalaman dan beramah mesra dengan ahli- ahli Usia yang hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-32.
SAKARAN buat kali terakhir bersalaman dan beramah mesra dengan ahli- ahli Usia yang hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-32.

KOTA KINABALU: Tun Sakaran Dandai akhirnya melepaskan jawatan selaku Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) berkuatkuasa Sabtu lepas, setelah menerajui pertubuhan itu selama 24 tahun.

Jawatan berkenaan kini digalas oleh Timbalan Yang Dipertua Usia Datuk Sairin Karno selepas menang tanpa bertanding pada Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan Usia ke-32.

Ketika menyampaikan amanah terakhir, Sakaran merakamkan penghargaan kepada seluruh pemimpin dan ahli Usia di pelbagai peringkat kerana memberi sokongan dan kerjasama erat sepanjang perkhidmatannya dalam pertubuhan itu.

"Bagi saya, segala kejayaan yang dicapai oleh Usia selama di bawah kepimpinan saya, adalah dengan izin serta berkat Allah S.W.T, serta sokongan dan dorongan daripada anda semua.

"Dalam apa juga peringkat kepimpinan, sama ada di dalam kerajaan, Organisasi atau Ngo seperti Usia, peralihan kepimpinan adalah suatu perkara yang lumrah.

" Kata orang pemimpin datang dan pergi. Gerakan atau aktiviti sesebuah organisasi mesti diteruskan walaupun ada kalanya terdapat peralihan kepimpinan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Usia kali ke 32, di sini pada Sabtu.

Sakaran berkata, beliau akan terus menjadi ahli Usia dan memberikan kerjasama serta sokongan dalam kapasiti yang berlainan selaras dengan kemampuannya.

Beliau juga yakin bahawa Usia akan terus kukuh dan bertenaga di bawah kepimpinan baharu.

" Saya ingin berpesan kepada pengganti saya, agar menjaga Usia dengan sepenuh hati. Berkhidmatlah dengan tulus dan ikhlas demi Usia kerana apabila Usia maju, sudah pasti umat Islam di negeri ini akan turut maju dan dihormati semua orang.

" Elakkan sebarang pergeseran dan perpecahan kerana ini akan menyebabkan kita menjadi lemah dan mudah diperlekehkan oleh musuh- musuh Islam," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Usia juga perlu terus memperkasakan hala tuju terutamanya dalam urusan dakwah, selain memperbaiki dan meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam.

Katanya, meskipun kedua- dua aspek itu sudah menjadi perhatian sejak dahulu lagi, namun langkah - langkah susulan perlu dilaksanakan secara proaktif dan bersifat nilai tambah.

"Mengenai gerakan dakwah Islamiah, saya menyarankan supaya Usia meningkatkan lagi program tarbiah dari segi agama dan syariah berlandaskan iman, tauhid dan tasawuf.

" Dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam, terutamanya dalam kalangan ahli-ahli Usia, langkah menyatukan seluruh aset Usia yang ada perlulah diberi keutamaan untuk dilaksanakan secara cekap, telus dan penuh tanggungjawab," katanya.

Justeru, dengan usaha itu, beliau berharap Usia akan memperoleh sumber pendapatan untuk menampung program- program dakwah yang hendak dilaksanakan termasuklah hal - hal pengurusan ibu pejabat.

Terdahulu, selain Sakaran, beberapa jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang sudah diisi tanpa bertanding iaitu Pengerusi Tetap Usia Datuk Ismarah Madcasar, Timbalan Yang Dipertua Usia Datuk Arsit Sedi dan Ketua Wanita Usia Datuk Azizah Mohd Dun.

Barisan AMT Usia yang baharu akan menerajui pentadbiran Usia bermula sesi tahun depan hinggalah 2021.

  • oleh
  • Advertisement