Anda di sini

Shafie menerima watikah sebagai Pro Canselor UMS baharu

Advertisement
SHAFIE  (kiri) menerima watikah pelantikan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu dari Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-20 hari ini.
SHAFIE (kiri) menerima watikah pelantikan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu dari Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-20 hari ini.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melangsungkan pemasyhuran dua Pro-Canselor baharu pada Majlis Konvokesyen UMS ke-20, di Dewan Canselor, pada Sabtu.

Penerimaan watikah pemasyhuran didahului Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan disusuli Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Berhad, Tan Sri Azman Hashim.

Penyampaian watikah pemasyhuran disempurnakan dengan penuh istiadat oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin merangkap Canselor UMS di hadapan 793 graduan sidang pertama.

Ia turut disaksikan oleh pegawai pengurusan tertinggi universiti serta ribuan ibu bapa dan ahli keluarga graduan.

Kedua-dua mereka masing-masing dilantik sebagai Pro-Canselor UMS oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berkuat kuasa pada tarikh 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.

Shafie, seorang anak jati Sabah berasal dari Semporna adalah tokoh pemimpin yang tidak asing lagi di negeri ini.

Dilahirkan pada 20 Oktober 1957, beliau mendapat pelajaran menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur sebelum memperolehi Diploma dalam Pengurusan dan Perkapalan dari Kolej Perniagaan London dan Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dengan Kepujian daripada Politeknik Staffordshire Utara di England.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Ahli Ekonomi di Kementerian Kewangan Negeri Sabah pada tahun 1982, dan pernah menyandang beberapa jawatan termasuklah sebagai Pegawai Pentadbir Kanan, Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah, dan Penolong Setiausaha Kanan di Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar Sabah.

Beliau memulakan karier politik pada tahun 1991 apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Datuk Sakaran Dandai.

Sepanjang penglibatannya dalam arena politik tanah air, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Timbalan Menteri Pertahanan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pada tahun 2016, beliau menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan partinya itu telah membuat coretan sejarah baharu buat negeri Sabah apabila memenangi Pilihanraya Umum ke-14 dan berjaya membentuk kerajaan baru Sabah. Kini, beliau adalah Ketua Menteri Sabah.

Azman pula dilahirkan pada bulan Julai 1939 di Kuala Lumpur. Mempunyai 13 adik-beradik, beliau dididik dengan disiplin yang tegas oleh bapa dan ibunya yang bekerja sebagai guru sekolah.

Pada tahun 1954, beliau menduduki Peperiksaan Senior Cambridge dan mendapat gred satu, dan kemudian ditawarkan perakaunan dengan Biasiswa Rancangan Colombo yang membawanya ke Australia dari tahun 1955 hingga 1960.

Beliau telah bekerja dengan Tetuan O.L. Haines & Co (Chartered Accountants) dari tahun 1955-1960 sebelum berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia sehingga bulan Mei 1964, dan kemudian memulakan perniagaan sendiri iaitu Azman & Co yang kemudiannya berkembang menjadi syarikat perkongsian, Azman Wong Salleh & Co (Chartered Accountants).

Beliau kemudian menyertai Lembaga Pengarah Malayan Banking Berhad pada tahun 1966 dan merupakan Pengarah Eksekutif dari tahun 1971 hingga tahun 1980. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Kwong Yik Bank Berhad pada tahun 1980 sehingga tahun 1982 dan menjadi Pengerusi Kumpulan AmBank sehingga ke hari ini.

Pada masa ini, beliau adalah Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Berhad dan Pengerusi bagi beberapa anak syarikat Kumpulan AmBank serta Amcorp Properties Berhad.

Sementara itu, seramai 5,003 graduan universiti itu menerima ijazah mereka pada enam sesi, yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini sehingga Isnin. Mereka terdiri daripada 4,276 graduan sarjana muda dan 727 graduan pascasiswazah.

  • oleh
  • Advertisement