Anda di sini

Prestasi kementerian di Sabah akan dipantau rapi: Shafie

Advertisement
 Shafie (tengah) menunjukkan buku garis panduan permohonan lesen berniaga selepas perasmian seminar Amalan Baik Peraturan (GRP) Wilayah Sabah semalam. — Gambar Bernama
PERASMIAN: Shafie (tengah) menunjukkan buku garis panduan permohonan lesen berniaga selepas perasmian seminar Amalan Baik Peraturan (GRP) Wilayah Sabah semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Prestasi setiap kementerian di Sabah akan dipantau rapi bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat terus dipertingkat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya untuk itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap kementerian akan dilancarkan pada 6 Dis ini.

“Kita mahu setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan sampai kepada sasaran. Oleh itu kita mahu perkhidmatan awam di negeri ini membuat perubahan dari semasa ke semasa,” katanya  kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Amalan Baik Peraturan (GRP) Wilayah Sabah, di sini semalam.

Katanya KPI itu ditetapkan untuk rakyat menilai kerajaan, sekali gus menjaga keyakinan rakyat terhadap pemimpin.

Terdahulu ketika berucap, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan pihak Setiusaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan GRP di negeri itu.

Beliau berharap dasar GRP itu dapat merapatkan jurang dalam sistem pengurusan peraturan di Sabah selain memastikan peraturan membebankan masyarakat dan komuniti perniagaan yang menghalang persaingan dan inovasi dapat dikurangkan dan dielakkan.

“Saya juga berharap agar inisiatif GRP ini dapat membantu meningkatkan ketelusan dan kredibiliti penggubalan undang-undang dan peraturan serta dapat mewujudkan kualiti hidup dan persekitaran perniagaan yang lebih baik bagi negeri Sabah.

“Semoga dengan pengenalan GRP di negeri ini juga dapat menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang dapat menarik minat industri dan pelaburan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana kekayaan negeri Sabah,” katanya.

GRP adalah amalan pergurusan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan agensi bagi meningkatkan produktiviti dan memudah cara komuniti perniagaan ke arah perkembangan ekonomi dan pelaburan yang lebih pesat. — Bernama

Advertisement