Anda di sini

Pemberian milik tanah geran NT beri sinar masa depan penduduk

Advertisement
JALAN balak Magandai masih menjadi cabaran utama.
JALAN balak Magandai masih menjadi cabaran utama.

KOTA MARUDU: Kira-kira 3,000 penduduk tujuh buah kampung di mukim Ulu Bengkoka bakal menerima geran NT untuk tanah-tanah yang mereka duduki berikutan pemansuhan geran komunal oleh Kerajaan Negeri Sabah yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sidang lalu.

Setiausaha Sulit Kepada Ketua Menteri, Francis Au berkata tujuh kampung itu meliputi kawasan seluas 10,546 hektar melibatkan Kampung Bombong 1, Sonsogon Magandai, Sonsogon Suyad, Sungai Sonsogon, Sonsogon Paliu, Binantungan Suyad dan Lingkabungan 1.

“Pengumuman tersebut bagaikan satu mimpi khususnya kami dari etnik Sonsogon yang telah mendiami tanah leluhur lebih 100 tahun lalu,” kata Jabal Singkonong, salah seorang penduduk Kg Sungai Magandai.

Jabal, 48, menyatakan rupanya berita radio dan televisyen tentang pemberian geran NT kepada kami adalah benar.

Menurut Jabal, semenjak tanah perkampung mereka diberi status geran komunal, keadaan hidup mereka selalu berada dalam kebimbangan diusir dari tanah leluhur mereka.

Francis yang juga Ketua Wira Warisan Kota Marudu menyampaikan berita gembira itu kepada penduduk ketika merasmikan Hari Anugerah Cemerlang SK Sungai Magandai.

Jabal berharap penduduk mendapat penyukatan tanah secepat mungkin agar dapat diusahakan bersama agensi kerajaan berkaitan untuk penanaman getah, sawit atau usaha komersil lain.

Solboy Majudin dari Kg Sungai Magandai turut menyatakan mereka sememangnya dahagakan tanah berstatus milik sendiri agar dapat menetap di tanah leluhur dengan mengusahakannya secara bebas.

Francis dalam ucapannya berharap pemansuhan geran komunal diganti dengan pemilikan geran NT dapat mengembalikan ketenangan hidup penduduk dengan mengusahakannya dengan tanaman jangka panjang dan seterusnya diwariskan kepada anak-anak dan cucu-cicit.

Pengembalian tanah penduduk dalam kawasan geran komunal kepada milik geran NT turut menjadi agenda utama pertemuan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dengan penduduk di sini minggu lalu.

  • oleh
  • Advertisement