Anda di sini

Kerajaan sepakat dalam keputusan tidak meratifikasi ICERD

Advertisement
SUASANA perbincangan rombongan Rusdi dengan Shafie (kanan).
SUASANA perbincangan rombongan Rusdi dengan Shafie (kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan sepakat dalam keputusan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal berkata kehidupan di Malaysia tidak pernah menghalang kebebasan beragama.

"Perbezaan agama dan kaum tidak menjadi isu di negara kita kerana sudah lama kita amalkan menghormati kefahaman budaya lain.

"Jika kita mempunyai masalah untuk agama lain meneruskan kepercayaan mereka, itu mungkin menjadi masalah.

"Tetapi seperti yang kita lihat, ia tidak terjadi di sini," katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan hormat Duta Indonesia, Rusdi Kirana di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Jumaat.

Menurut Shafie, pertemuannya dengan Rusdi membincangkan kerjasama dua hala yang sudah lama terbina.

"Kita membincangkan mengenai pertukaran pelancong, di mana kita akan menambah penerbangan dengan memasukkan Malindo Air.

"Selain itu, kita juga maklum terdapat sebilangan warganegara mereka bekerja di Malaysia dan menyumbang kepakaran dalam bidang perladangan.

"Oleh itu, hubungan baik antara kita dan Malaysia - Indonesia ini perlu terus dijaga dengan baik," jelas beliau.

Hadir sama, Gabenor Sulawesi Utara, Olly Dondokambey dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.

Advertisement