Anda di sini

Jangan lupakan pesanan pemimpin, pensyarah, guru dan ibu bapa

Advertisement

KOTA KINABALU: Graduan yang berjaya melangkah ke alam pekerjaan dinasihatkan agar sentiasa mengingati pesanan-pesanan pemimpin, para pensyarah, guru dan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dan beramanah.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata, Malaysia baharu memerlukan tenaga segar, tangkas dan mantap.

"Negara sangat memerlukan tenaga kerja yang kreatif dan inovatif. Contohi cara kerja negara-negara hebat seperti Jepun seterusnya diadun mengikut keperluan tempatan.

"Nilai-nilai kerja itu akan menjadi jati diri generasi muda Malaysia yang akan menjadi tamadun kepada bangsa," katanya ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-20, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, ilmu penting untuk dituntut tanpa mengira kaum, tempat dan waktu. Justeru, banyak juga bidalan berkaitan ilmu pernah diungkap sebagai satu peringatan akan kepentingan ilmu itu.

"Antaranya adalah 'tuntutlah ilmu sehingga ke Liang Lahad', ini bermakna seseorang yang berilmu perlu dihormati dan orang berilmu yang tidak mempunyai 'sarjana' hendaklah diberi penghargaan sebagai imbalan keilmuan itu," katanya.

Juhar juga mengingatkan para graduan bahawa sifat malas menjadikan seseorang itu lemah, daif dan gagal menyumbang tenaga untuk keluarga, negeri dan negara.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 5,003 graduan terdiri daripada 55 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 603 Ijazah Sarjana; 4,276 Ijazah Sarjana Muda dan 69 Diploma akan menerima jiazah dan diploma masing-masing.

Jumlah itu turut melibatkan 195 graduan kelas pertama, 146 graduan yang merupakan pelajar antarabangsa, 89 graduan dari kumpulan pelajar B40, 14 graduan kelainan upaya dan dua graduan anumerta (posthumous).

  • oleh
  • Advertisement