Anda di sini

Perlu strategi baharu tingkat kedatangan pelancong

Advertisement
 Abang Karim (tiga kanan) bergambar bersama wakil penggiat industri pelancongan yang menandatangani ikrar pelancongan sempena program STP semalam. Turut kelihatan Uzaidi (kiri) dan Latif (dua kanan).
KENANGAN: Abang Karim (tiga kanan) bergambar bersama wakil penggiat industri pelancongan yang menandatangani ikrar pelancongan sempena program STP semalam. Turut kelihatan Uzaidi (kiri) dan Latif (dua kanan).

KUCHING: Strategi baharu diperlukan bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan mengukuhkan lagi industri pelancongan Sarawak.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg berkata industri pelancongan merupakan salah satu agenda utama Kerajaan Sarawak.

Pada 2017 katanya, Sarawak merekodkan kedatangan seramai 4.86 juta pelancong dengan perbelanjaan sebanyak RM8.59 bilion dan menyumbang sebanyak 7.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

“Bagi mengukuhkan lagi industri pelancongan Sarawak, strategi baharu diperlukan untuk meningkatkan kedatangan pelancong dengan memperbanyakkan lagi hubungan udara ke Kuching.

“Saya dimaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) telah memeterai kerjasama dengan Malaysia Airlines yang berupa kempen dan aktiviti-aktiviti promosi untuk menarik lebih ramai pelawat dari United Kingdom.

“Tetapi masalah kita Sarawak ialah kita tidak mempunyai laluan yang banyak dan saya meminta pertimbangan daripada syarikat penerbangan untuk memperkenalkan lebih banyak laluan antara negeri ini dengan destinasi antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Showcasing Tourism Products (STP) di  sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Program STP merupakan usaha sama antara Tourism Productivity Nexus (TPN) dan MPC untuk mengenal pasti dan mempromosikan produk-produk pelancongan yang baharu serta memaparkan keunikan Sarawak.

Mengulas lebih lanjut mengenai program tersebut, Pengerusi TPN Uzaidi Udanis berkata ia merupakan siri keempat selepas Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang dan seterusnya Sabah.

Seramai 80 penggiat industri pelancongan dari Semenanjung Malaysia dan 100 penggiat dari Sarawak menyertai program tiga hari tersebut bermula semalam.

Bagi program STP di Sarawak, beberapa destinasi pelancongan telah dipilih untuk dilawat bagi menghayati produk-produk pelancongan yang baharu serta keunikannya.

Antaranya Taman Buaya Jong, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Muzium Sejarah Semulajadi Sarawak, Mural Orang Utan, Kampung Budaya Sarawak, Kilang Kek Lapis, Pasar Satok, Tebingan Kuching, Jejak Makanan, Masjid Terapung dan Tokong Tua Pek Kong.

Hadir sama Pengerusi Tourism Productivity Nexus Uzaidi Udanis, Timbalan Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman dan Pengarah Kanan Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abdul Ghapar.

  • oleh
  • Advertisement