Anda di sini

KPI baharu setiap kementerian di Sabah dilancarkan 6 Dis

Advertisement
SHAFIE (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain menunjukkan buku  'Manual Dealing with Construction Permits (DCP) Dewan Bandaraya Kota KInabalu (DBKK)' selepas melancarkannya pada seminar berkenaan.
SHAFIE (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain menunjukkan buku  'Manual Dealing with Construction Permits (DCP) Dewan Bandaraya Kota KInabalu (DBKK)' selepas melancarkannya pada seminar berkenaan.

KOTA KINABALU: Pendekatan reformasi baharu bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap kementerian di negeri ini akan dilancarkan pada 6 Dis depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pendekatan drastik itu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkat seiring dengan objektif serta dasar yang sudah diputuskan bersama.

"Ini antara pendekatan yang saya akan maklumkan kepada setiap menteri dan kementerian untuk memantau supaya ada perubahan dari semasa ke semasa.

" Jadi saya yakin kalau kita berupaya untuk merealisasikan pendekatan ini, perkhidmatan awam di peringkat negeri akan dapat kita pertingkatkan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar Amalan Baik Peraturan (GRP) Wilayah Sabah, di sini pada Jumaat.

Tambahnya, pendekatan seumpama itu  juga adalah bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap pemerintah selaku kerajaan yang baharu.

Selain itu Shafie berkata, seminar pelaksanaan GRP oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri adalah usaha baik bagi mendedahkan perlunya ada peningkatan daya upaya penyampaian perkhidmatan awam mahupun swasta.

Katanya, ia adalah satu langkah bagi meletakkan negara khususnya Sabah sebagai sebuah tempat yang mampu bersaing, memberi perkhidmatan dan tarikan kepada pihak- pihak berkepentingan.

" Kita perlu membuat perubahan dari semasa ke semasa supaya kesesuaian cara, kaedah, peraturan yang kita lakukan ini selaras dengan apa yang diperlukan dalam keadaan persekitaran yang sentiasa berubah.

" Jadi yang penting kepada kita bukan hanya mengetahui kita berupaya menggubal beberapa pendekatan atau dasar yang membolehkan produktiviti dapat diperingkatkan, tapi perlu ada penekanan disiplin bagi memastikan ia memberi pulangan baik, sekaligus menyelamatkan masa dan wang," katanya.

  • oleh
  • Advertisement