Anda di sini

BPHB terus membantu pembangunan pendidikan

Advertisement
 Pelajar menerima sumbangan daripada BPHB bersama Maslihah, Yusuf (duduk baris tiga, tengah) serta pengurusan kanan BPHB, SIPSB, BBSB dan BPSB.
SUMBANGAN: Pelajar menerima sumbangan daripada BPHB bersama Maslihah, Yusuf (duduk baris tiga, tengah) serta pengurusan kanan BPHB, SIPSB, BBSB dan BPSB.

BINTULU Port Holdings Bhd (BPHB) terus membantu pembangunan pendidikan di Bintulu  dengan menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk meningkatkan prestasi akademik serta membantu golongan pelajar kurang berkemampuan terutama di pedalaman.

Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat Kumpulan BPHB, Maslihah Tioh berkata sejak 2015 hingga sekarang BPHB amat berbangga mampu menganjurkan program seumpamanya (Back To School) turut diadakan oleh syarikat-syarikat swasta lain.

“Kami mampu laksanakan program ini dengan memperuntukkan RM70,000 membantu pelajar sekolah kawasan pedalaman sekali gus program ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Datuk Mohammad Medan Abdullah pada program itu di Bintulu, kelmarin.

Katanya, beberapa program dilaksanakan BPHB dengan melibatkan penajaan program tatacara menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan lalu untuk sekolah-sekolah terpilih serta meraikan anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata, program ini khusus sekolah jauh di pedalaman dengan kakitangan BPHB sendiri turut menyertainya agar mereka dapat menyelami keadaan hidup keluarga kurang berkemampuan di kawasan pedalaman menyekolah anak-anak mereka.

Sumbangan diberikan itu berupa kelengkapan sekolah kepada 180 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Silas, SK Sungai Selad dan SK Sungai Setulan merupakan sekolah rendah kategori sekolah kurang murid dengan majoriti kalangan keluarga kurang berkemampuan.

Setiap seorang murid menerima RM250 untuk pembelian dua pasang pakaian seragam sekolah, kasut, stoking, beg sekolah dan set alat tulis.

Maslihah berkata, melalui program itu dapat meringankan bebanan ibu bapa menyediakan kelengkapan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Mungkin tidak seberapa tetapi sekurang-kurang dapat membantu ibu bapa yang tidak berkemampuan. Dengan bantuan disalurkan itu serta beberapa program anjuran syarikat memberi impak positif ke atas perkembangan pembelajaran anak-anak.

“Datuk Mohammad Medan amat mengambil berat impak program itu serta mengharapkan murid mendapat keputusan terbaik dalam pelajaran mereka,” tambahnya.

Beliau berharap murid di Bintulu dapat terus menempa kejayaan sekali gus mengharapkan kolaboratif dengan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dapat diteruskan pada masa akan datang serta turut membawa makna kepada ibu bapa.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Yusuf Harbi berkata hubungan baik ibu bapa dan swasta perlu terus dipertingkat memacu pendidikan di bahagian ini sekali gus bantuan oleh BPHB disifatkan sebagai amat membantu sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.

“Kami amat menyanjung tinggi usaha BPHB sebuah badan korporat profesional membantu pihak sekolah dan sokongan memberi semangat kepada warga pendidik memacu keberhasilan pencapaian akademik 2020 dan merupakan tugas berat PPD Bintulu memacu prestasi pendidikan di bahagian ini supaya lebih menonjol di Sarawak,” katanya.

Beliau berharap prestasi akademik di Bintulu meningkat dengan bantuan pelbagai aspek diberikan oleh BPHB serta berharap tahun hadapan sekolah-sekolah lain mendapat bantuan sama.

Hadir sama pengurusan-pengurusan kanan Kumpulan BPHB, Samalaju Industrial Port Sdn Bhd (SIPSB), Biport Bulkers Sdn Bhd (BBSB), Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) serta guru-guru.

  • oleh
  • Advertisement