Anda di sini

UPSR lewat kerana cuti umum,punca keputusan diumum ketika cuti sekolah 

Advertisement

PUTRAJAYA: Kelewatan pengeluaran keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) pada tahun ini disebabkan peperiksaan UPSR 2018 dilaksanakan hampir dua minggu lewat berbanding pelaksanaan UPSR tahun sebelumnya. 

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mengambil maklum kerisauan yang dibangkitkan ibu bapa iaitu keputusan UPSR yang akan dikeluarkan semasa cuti persekolahan. 

Namun, menurut kementerian itu Lembaga Peperiksaan (LP) sebelum ini juga pernah mengeluarkan keputusan UPSR semasa cuti persekolahan. 

Kementerian itu berkata peperiksaan UPSR 2018 lewat diadakan kerana terdapat beberapa cuti umum pada awal dan pertengahan September.

Ia melibatkan 31Ogos bagi Hari Kebangsaan; 9-10 Sept bagi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong; 11 Sept bagi Awal Muharam dan 16–17 Sept bagi Hari Malaysia.

"Kelewatan pelaksanaan peperiksaan kali ini telah menyebabkan kelewatan pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan. LP juga perlu mematuhi prosedur penjaminan kualiti yang ditetapkan bagi memastikan ketepatan keputusan yang akan dikeluarkan,” menurut kenyataan itu. 

Sehubungan itu, kementerian memohon pelajar-pelajar Tahun 6 mendapatkan PPSR dan keputusan UPSR pada 29 Nov (Khamis) bermula pukul 10 pagi di sekolah masing-masing. 
 

  • oleh
  • Advertisement