Anda di sini

Trump ikrar tetap sokong Arab Saudi

Advertisement
 Orang ramai yang membawa gambar Khashoggi menghadiri acara pengebumian simbolik untuk Khashoggi di Masjid Fatih di Istanbul, Turki, pada 16 November lepas. — Gambar Reuters
TURUT BERSIMPATI: Orang ramai yang membawa gambar Khashoggi menghadiri acara pengebumian simbolik untuk Khashoggi di Masjid Fatih di Istanbul, Turki, pada 16 November lepas. — Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin berikrar untuk tetap menyokong sekutunya Arab Saudi walaupun pada waktu yang sama mengakui pemimpin hakiki Putera Mahkota Mohammed bin Salman mungkin telah mendalangi pembunuhan kejam seorang wartawan.

“Ia berkemungkinan besar bahawa putera mahkota tahu tentang kejadian yang tragis ini – mungkin baginda tahu dan mungkin tidak!” Trump menyebut dalam satu kenyataan.

“Kita mungkin tidak akan tahu semua fakta berhubung pembunuhan Encik Jamal Khashoggi. Walau bagai-manapun, hubungan kita adalah dengan Negara Arab Saudi,” kata beliau. “AS berhasrat untuk terus menjadi rakan yang setia.”

Pembunuhan mengerikan Khashoggi, yang hilang selepas beliau memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lepas, telah memalukan Washington.

Pembunuhan itu meng-gagalkan kempen perhubu-ngan awam yang diketuai putera mahkota berkenaan untuk menunjukkan bahawa negara Islam yang konservatif itu sudah memulakan agenda reformis baharu.

Ia turut menimbulkan persoalan mengenai strategi Rumah Putih untuk menjadikan MBS, panggilan orang ramai bagi kerabat diraja terbabit, sebagai rakan utamanya di rantau yang bergolak itu.

Trump selama berminggu-minggu enggan menerima bukti yang semakin meningkat tentang pembabitan kerajaan Arab Saudi dalam pembunuhan Khashoggi – serta tuduhan bahawa MBS mengarahkan pembunuhan itu.

Bagaimanapun, selepas akhbar The New York Times melaporkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah merumus-kan bahawa Putera Mohammed terbabit, tumpuan beralih kepada Trump untuk mengetahui sama ada beliau akan menghukum rakannya, Arab Saudi, atau mencari jalan untuk membiarkannya.

Dalam kenyataan beliau, yang dikeluarkan oleh pejabat media Rumah Putih, Trump memilih jalan kedua, dan menyatakan hubungan AS-Arab Saudi adalah lebih penting daripada pembabitan Putera Mahkota Mohammed dalam jenayah berkenaan.

Beliau berkata Raja Salman dan putera mahkota itu “menafikan sekeras-kerasnya sebarang pengetahuan tentang rancangan atau pelaksanaan pembunuhan Encik Khashoggi”.

Menurutnya, Arab Saudi memberi bantuan yang amat penting dalam usaha AS untuk mengekang cita-cita Iran, selain sudah memberikan komitmen bernilai AS$450 bilion (RM1.8 trilion) dalam kontrak senjata AS dan pelaburan lain.

Selain itu, Arab Saudi telah membantu merendahkan harga minyak, kata Trump.

“AS berhasrat untuk terus menjadi rakan setia kepada Arab Saudi bagi menjaga kepentingan negara kita, Israel dan semua rakan lain di rantau itu,” ujar presiden itu.

Trump mengakui ada usaha dalam Kongres agar AS meng-hukum MBS dan mengambil tindakan terhadap kepim-pinan Arab Saudi.

“Saya akan menimbang apa sahaja idea yang dikemukakan kepada saya, tetapi hanya jika ia konsisten dengan ke-selamatan mutlak Amerika,” kata beliau.

Akhbar The Washington Post menjawab bahawa Trump telah mengutamakan “hubungan peribadi dan kepentingan komersil lebih daripada kepentingan Amerika dalam keinginan beliau untuk meneruskan urusan seperti biasa”.

“Trump betul apabila beliau menyatakan dunia adalah tempat yang sangat bahaya. Penyerahannya kepada pembunuhan yang diarah oleh kerajaan ini hanya akan menjadikannya lebih berbahaya lagi,” penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Post, Fred Ryan, menyebut dalam satu kenyataan.

Pengkritik hubungan ‘jangan tanya soalan’ itu segera menyerang Trump.

“Memandangkan Encik Trump cemerlang dalam ketidakjujuran, ia kini terpulang kepada ahli Kongres untuk mendapatkan dan mendedahkan penemuan CIA mengenai kematian Jamal Khashoggi,” tweet John Brennan, seorang bekas pengarah CIA dan pengkritik Trump yang lantang.

“Tidak ada orang di Arab Saudi – terutama sekali Putera Mahota – harus terlepas daripada tanggungjawab bagi perbuatan yang begitu keji.”

Senator Demokrat Jeanne Shaheen berkata tindakan Rumah Putih menunjukkan “tabiat Presiden Trump yang lebih memihak kepada diktator asing yang kejam daripada profesional perisikan Amerika”, dan menyifatkan pendekatan itu sebagai mencemari demokrasi AS. — AFP

Advertisement