Anda di sini

TM promosikan gaya hidup digital pada Ekspo ICT Sarawak

Advertisement
 Jafer Sadig berjabat tangan dengan Liak (empat kiri) sambil disaksikan oleh Lee (dua kanan), Nge (tiga kanan) dan Tan (tiga kiri).
EKSPO: Jafer Sadig berjabat tangan dengan Liak (empat kiri) sambil disaksikan oleh Lee (dua kanan), Nge (tiga kanan) dan Tan (tiga kiri).

KUCHING: Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui TM Sarawak bakal mempromosikan gaya hidup digital kepada komuniti setempat menerusi tawaran terbaharunya dalam Ekspo ICT Sarawak 2018 di Wisma Saberkas bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Ekspo tersebut, yang merupakan antara acara pameran produk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terbesar dianjurkan oleh Persatuan ICT Sarawak (SICTA), ditaja oleh TM sebagai penaja telekomunikasi utama.

Pengurus Besar TM Sarawak Jafer Sadig Abdul Lathiff berkata, penglibatan selama tujuh tahun berturut-turut dalam ekspo berkenaan menggambarkan sokongan padu syarikat terhadap perkembangan industri ICT di Sarawak.

“Kami amat berbesar hati kerana sekali lagi berpeluang menjadi penaja telekomunikasi utama untuk acara ini bagi mempamerkan tawaran terbaharu dan inovatif kami kepada komuniti setempat, terutamanya di Kuching.

“Ekspo ICT Sarawak ini merupakan platform terbaik bagi kami memaparkan keupayaan untuk membawa gaya hidup digital yang dipertingkatkan kepada lebih ramai warga negeri Sarawak melalui perkhidmatan bersepadu kami.

“Oleh itu, kami berharap para pelanggan dan pengunjung yang datang ke acara tersebut akan merebut peluang untuk merasai sendiri pengalaman mencuba produk kami dan pengalaman gaya hidup digital yang boleh mereka nikmati,” katanya pada sidang media di Wisma Saberkas di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SICTA  Sean Liak Jin Seng, pengerusi penganjur Ekspo ICT Sarawak 2018 Lee Kim Seng, penaja bersama Pengurus Channel Malaysia Timur dan Brunei Alex Nge Hock Lik dan Pengurus Pihak Pengurusan Saberkas Tan Lock Kheng.

Jafer Sadig berkata, TM juga komited untuk mengubah landskap Sarawak dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi tercanggih dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi menerusi peluang-peluang digital.

Bagi memenuhi keperluan gaya hidup digital katanya, syarikat itu juga memperkenalkan pelan unifi iaitu unifi Basic dengan kelajuan 30 megabit sesaat (Mbps) pada harga RM79 dan unifi Turbo 100 Mbps (RM129).

“Kami berharap komuniti di Kuching tidak akan melepaskan peluang untuk merebut tawaran ini,” katanya.

Langganan untuk pelan unifi Basic didatangkan dengan 17 saluran hiburan percuma pada aplikasi play TV@unifi yang boleh dimuat turun di Apple Store atau Google Play.

Manakala pelan unifi Turbo dilengkapi dengan pakej hiburan premium unifi TV iaitu pakej Anek Plus, Varnam Plus atau Ruby Plus.

Untuk nilai hiburan lebih hebat dengan saluran tempatan dan antarabangsa yang eksklusif, pelanggan boleh menambah pakej Ultimate unifi TV yang tampil dengan Set-Top-Box dengan tambahan RM30 sebulan.

Di samping itu, pelanggan juga boleh menambah perkhidmatan pascabayar unifi Mobile untuk sambungan tanpa wayar di mana-mana sahaja dengan data, panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa had serta tanpa kontrak.

Tawaran unifi Mobile boleh didapati pada harga RM99 sebulan dengan hotspot 10 gig liputan evolusi jangka panjang (LTE) percuma.

Manakala komuniti perniagaan di Sarawak boleh memilih pelan unifi ebiz yang disesuaikan khusus untuk peniaga yang menjalankan perniagaan dalam talian.

Usahawan boleh memilih pelan BIZ Lite 10Mbps, pelan BIZ Advance 30Mbps dan pelan BIZ Pro 100Mbps bagi memenuhi keperluan perniagaan.

Kunjungi ruang pameran TM di Ekspo ICT 2018 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produknya, atau menyertai aktiviti-aktiviti disediakan serta memenangi hadiah-hadiah menarik.

Orang ramai juga boleh melayari www.unifi.com.my untuk mengetahui lanjut mengenai tawaran unifi terbaharu.

Advertisement