Anda di sini

Songlap RM100,000 untuk tujuan peribadi

Advertisement
__alt__

KUCHING: Wang RM100,000 didakwa dicuri  di tandas stesen minyak di Petra Jaya, di sini rupanya disonglap untuk tujuan peribadi.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah ACP Ng Ah Lek selepas siasatan polis mendapati laporan polis yang dibuat wanita berusia 30 tahun terbabit pada 15 November baru-baru ini adalah palsu.

Menurutnya, sandiwara wanita tersebut terbongkar selepas disoal siasat anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada malam kelmarin.

“Hasil siasatan mendapati wang tersebut bukannya hilang dicuri tetapi telah digunakan suspek untuk tujuan peribadi dan juga untuk membuka perniagaan ‘cleaner’ yang didaftar atas nama suspek sendiri.

“Laporan polis yang dibuat suspek adalah palsu dan cuma rekaan untuk mengelirukan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ng, wang RM100,000 tersebut adalah milik bapa saudara suspek hasil daripada jualan rumah.

“Suspek merupakan orang kepercayaan bapa saudaranya, di mana apa-apa urusan yang melibatkan wang akan diserahkan kepadanya (suspek),” jelas Ng.

Suspek kini difahamkan masih ditahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dipenjara enam bulan atau denda tidak kurang RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” kata Ng.
 

  • oleh
  • Advertisement