Anda di sini

Pegawai imigresen didakwa minta, terima rasuah

Advertisement
 Megat Khairul (tengah) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Megat Khairul (tengah) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas. — Gambar Bernama

IPOH: Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas.

Tertuduh Megat Khairul Anuar Sulaiman, 32, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Jabatan Imigresen Negeri Perak di sini  meminta suapan RM3,000 daripada Muhammad Zahir Zahiri atas dorongan untuk menutup kes tangkapan dua pekerja Indonesia pada 30 Mac 2016 kira-kira jam 1.55 petang.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menerusi Seksyen 24 (1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pertuduhan kedua menyatakan Megat Khairul Anuar telah menerima suapan sebanyak RM3,000 yang diminta daripada Muhammad Zahir Zahiri di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri Perak di sini pada tarikh sama kira-kira jam 5.10 petang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda dengan lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya R.Kumuthambal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan Megat Khairul Anuar melantik peguam.

Terdahulu tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana perlu menyara keluarga, tidak mempunyai wang simpanan selain gaji bulanan hanya RM2,400. — Bernama

Advertisement