Anda di sini

Pasaran bon Asia Timur mampu hadapi risiko jangka pendek

Advertisement

KUALA LUMPUR: Risiko jangka pendek terus membayangi pasaran bon mata wang tempatan di Asia Timur tetapi mereka sepatutnya dapat menghadapi cabaran itu selagi para pembuat dasar di rantau ini kekal berhati-hati, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).

“Wujud kebimbangan mengenai pasaran baharu muncul, tetapi asas ekonomi Asia yang kukuh akan menarik pelabur kembali ke pasaran bon mata wang tempatan.

“Dengan itu, pembuat dasar di rantau itu mesti mengawasi perkembangan dengan rapat dan terus berjaga-jaga terhadap potensi kejutan,” kata Ketua Pakar Ekonomi ADB, Yasuyuki Sawada dalam edisi terbaharu Asia Bond Monitor kelmarin.

Risiko jangka pendek termasuk keengganan risiko umum ke arah pasaran baharu muncul, kenaikan yang lebih pantas daripada jangkaan dalam kadar faedah AS serta peningkatan ketegangan perdagangan global.

Pengetatan keadaan mudah tunai akan memburukkan lagi risiko pertumbuhan hutang swasta di rantau ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Susut nilai mata wang serantau dan aliran keluar modal menimbulkan lebih banyak risiko kepada kestabilan kewangan rantau ini.

Laporan itu menunjukkan pasaran bon baharu muncul Asia Timur berkembang 4.3 peratus pada suku ketiga berbanding suku kedua untuk berada pada AS$12.8 trilion pada akhir September.

Kadar pertumbuhan lebih cepat daripada 3.2 peratus yang dilihat pada suku kedua. Pertumbuhan suku ketiga sebahagian besarnya disebabkan oleh penerbitan bon yang kukuh di China, terutama bon yang dikeluarkan kerajaan tempatan untuk projek infrastruktur.

Sehingga akhir September, China mempunyai pasaran bon terbesar di Asia Timur dengan jumlah bon terkumpul AS$9.2 trilion, 72 peratus daripada jumlah serantau dan 5.7 peratus lebih tinggi daripada pada akhir Jun.

Pemegangan asing bon kerajaan mata wang tempatan jatuh sedikit di sebilangan besar Asia Timur pada suku ketiga 2018, kecuali Filipina dan China. Bahagian pegangan asing di China meningkat disebabkan oleh liberalisasi pasaran bon yang berterusan.

Bagi Malaysia, ia berkata, negara ini terus menjadi pasaran sukuk (bon Islam) terbesar di Asia Timur pada suku ketiga, dengan jumlah bon terkumpul sebanyak AS$200 bilion pada akhir September.

Sukuk menyumbang 60 peratus daripada pasaran bon mata wang tempatan; hampir 76 peratus daripada pasaran bon korporat dan kira-kira 46 peratus daripada pasaran bon kerajaan.

“Negara ini bagaimanapun mengalami peningkatan hasil bon pada tempoh itu berikutan permintaan pelabur yang lemah disebabkan oleh peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kebimbangan terhadap penularan meluas dari pasaran baharu muncul di luar Asia dan pengetatan dasar monetari di Amerika Syarikat dan Eropah,” kata ADB.

Secara keseluruhan, saiz pasaran bon mata wang tempatan Malaysia tidak banyak berubah pada suku ketiga pada AS$333.0 bilion, naik 0.7 peratus setiap suku tahun dan 9.1 peratus setiap tahun.

Saiz pasaran bon kerajaan berjumlah AS$175.0 bilion, meningkat 0.4 peratus suku ke suku dan 8.1 peratus tahun ke tahun berikutan jumlah terbitan yang lebih rendah dan jumlah sekuriti yang matang yang agak besar. Pasaran bon korporat berkembang 1.1 peratus berbanding suku sebelumnya dan 10.2 peratus pada asas tahun ke tahun kepada AS$158.0 bilion.

Laporan itu juga mengandungi kajian kecairan pasaran bon tahunan. Ia menunjukkan bahawa keadaan kecairan di rantau ini adalah bercampur-campur dengan kecairan rendah sedikit di Indonesia, Korea Selatan, Malaysia, dan Filipina. Kecairan yang lebih tinggi telah dicatat di China, Hong Kong, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Peserta pasaran terus mengatakan bahawa ketiadaan mekanisme lindung nilai bon yang berfungsi dengan baik dan kekurangan asas pelabur yang pelbagai adalah halangan terbesar dalam pembangunan pasaran.

ADB komited untuk mencapai Asia dan Pasifik yang makmur, inklusif, berdaya tahan,dan mampan, sambil mengekalkan usahanya untuk membasmi kemiskinan melampau. Ditubuhkan pada 1966, ia dimiliki oleh 67 ahli - 48 dari rantau ini. Pada 2017, operasi ADB berjumlah AS$$32.2 bilion, termasuk AS$11.9 bilion pembiayaan bersama. — Bernama

Advertisement