Anda di sini

Kemenangan Perancis ke atas Uruguay diselubungi kecederaan bahu Mbappe

Advertisement
MBAPPE
MBAPPE

PARIS, Perancis: Kecederaan bahu Kylian Mbappe menyelubungi kemenangan 1-0 Perancis ke atas Uruguay pada perlawanan di Stade de France Selasa lepas ketika pasukan juara dunia 2018 itu menamatkan tahun ini dengan bergaya.

Mbappe terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama selepas terjatuh teruk dan ia memburukkan lagi keadaan untuk kelab Paris Saint Germain (PSG), yang juga melihat  penyerang bintang, Neymar, mengalami kecederaan pada perlawanan persahabatan menentang Cameroon.

PSG akan menentang Liverpool pada perlawanan penting Liga Juara-Juara 28 November ini di Parc des Princes.

Ditanya jika beliau dapat memberikan “berita baik” tentang Mbappe pada sidang media selepas perlawanan, jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata: “Tidak begitu baik tetapi ia tidak membimbangkan juga.

“Dia mengalami kesakitan di bahagian bahu selepas terjatuh dan dia akan menjalani pemeriksaan lanjut esok (Rabu) tetapi ia tidak kelihatan serius.”

Selepas kecewa melihat Belanda mengatasi pasukannya untuk layak ke separuh akhir kejohanan Liga Negara UEFA (UNL) apabila Virgil van Dijk menjaringkan gol lewat untuk mengikat kedudukan 2-2 ketika menentang Jerman Isnin lepas, penalti Olivier Giroud minit ke-52 memastikan kemenangan Perancis ke atas Uruguay, mirip kemenangan di perlawanan suku akhir di Piala Dunia 2018 di Rusia.

“Ia penting untuk menamatkan tahun ini dengan positif, walaupun pada kekalahan terakhir (kepada Belanda) menyebabkan kami gagal ke separuh akhir (UNL),” kata Deschamps.

Dengan sokongan padu penyokong tempatan, Perancis menembusi pertahanan Uruguay seawal minit keempat tetapi rembatan penyudah Giroud tersasar walaupun hanya perlu menewaskan penjaga gol Martin Campana.

Matias Vecino menanduk terlalu hampir dengan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris ketika Uruguay mula mengimbangi permainan tetapi Mbappe seharusnya boleh meletakkan Perancis di hadapan jika melakukan penyudah kemas.

Mbappe, 19, kemudian dikeluarkan dari padang selepas terjatuh teruk selepas dihadang Campana dan diganti oleh Florian Thauvin.

Giroud mensia-siakan satu lagi peluang sebelum rehat apabila tandukannya dari dalam kotak penalti melambung tinggi.

Beliau bagaimanapun berjaya menjaringkan gol dari satu tendangan penalti selepas bola terkena pemain Uruguay, Martin Cacares menyebabkan pengadil memberikan satu tendangan penalti.

“Kami sedikit kecewa kerana gagal layak ke separuh akhir Liga Negara tetapi ia lumrah,” kata Giroud. “Kami mungkin tewas perlawanan yang tidak seharusnya tewas tetapi kami harus bangkit semula dan saya fikir kami melakukannya dengan baik.”

Perancis mula bermain dengan lebih baik dan yakin selepas gol itu tetapi mereka tetap gagal menambah jaringan. — AFP

Advertisement