Anda di sini

JCLA Curtin bantu murid-murid sekolah urus kewangan

Advertisement
 Jawatankuasa ‘Save-A-Ringgit’ bersama guru besar, guru-guru dan pemenang pertandingan semasa bootcamp di SK Kampung Lambir.
TAHNIAH: Jawatankuasa ‘Save-A-Ringgit’ bersama guru besar, guru-guru dan pemenang pertandingan semasa bootcamp di SK Kampung Lambir.

SERAMAI 40 murid tahun lima dan enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Lambir menimba pengalaman baharu dalam pengurusan kewangan melalui program ‘Save-A-Ringgit’ anjuran duta John Curtin Leadership Academy (JCLA) bahagian Pelajar Universiti Curtin Malaysia (Curtin Malaysia).

Duta JCLA terdiri daripada pelajar kejuruteraan tenaga elektrikal, Kee Kia Wei, pelajar kejuruteraan kimia Siah Qi, pelajar kewangan dan akauntan Augustinne Wong dan pelajar pemasaran dan kewangan Yong Li Yee dan semuanya merupakan pelajar tahun tiga.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama ‘Grow the Goose’ dan ‘Curtin Educational Excellence Facilitating Team’ (E-FacT), sukarelawan kumpulan mentor pelajar Curtin Malaysia dengan objektif mempromosikan literasi kewangan kalangan murid-murid.

Projek itu meliputi ‘Financial Saving Bootcamp’ diikuti dengan Pertandingan Menyimpan 40 Hari dan Pertandingan Idea Perniagaan Usahawan Sosial.

Sementara itu, pertandingan menyimpan duit dimenangi murid tahun lima, Sherlyna Irene Landu diikuti tempat kedua murid tahun lima, Reffina Jeckson Tay dan murid tahun enam, Joyceline Mangu.

Peserta diberi jurnal untuk merekodkan simpanan mereka dalam tempoh 40 hari dan peserta yang menyimpan secara berterusan diumumkan sebagai pemenang.

Manakala murid tahun lima, Noor Asyura Abdul Rahman menjuarai Pertandingan Idea Perniagaan Usahawan Sosial melalui idea menjual kek cawan dan kek secara dalam talian menerusi media sosial apabila besar nanti.

Semua pemenang menerima sijil dan hadiah disampaikan pada satu majlis di sekolah itu.

Advertisement