Anda di sini

Doping: Hafifi antara lima atlet digantung 4 tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Mohd Hafifi Mansor merupakan antara lima atlet digantung empat tahun oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kerana gagal ujian doping yang dijalankan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) pada 23 Mac lepas.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan selain Mohd Hafifi, empat atlet lain ialah Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhammad Zaidi Nordin dan Ronny Jesus.

Beliau menjelaskan kesemua atlet berkenaan dilarang daripada menyertai mana-mana aktiviti sepanjang tempoh berkenaan.

Ayub berkata tempoh penggantungan Mohd Hafifi bermula sejak 22 Jun lepas sehingga 22 Jun 2022, Mohamad Fazrul Azrie (28 Mac 2018-28 Mac 2020), manakala tiga lagi atlet telah menjalani tempoh penggantungan yang bermula sejak 23 Mac lepas sehingga 22 Mac 2022.

“Atlet tersebut juga telah menjalani sesi pendengaran dalaman untuk membela diri sebelum keputusan ini diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kecil Disiplin PABM dan turut dibawa dalam mesyuarat exco PABM,” kata Ayub.

Mengulas lanjut, Ayub turut menjelaskan keputusan berkenaan telah dimaklumkan kepada lima atlet berkenaan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) dan IWF.

Terdahulu, laman rasmi IWF pada 28 Mac lalu menyatakan tiga atlet Malaysia disahkan positif dadah jenis Stanozolol setelah menjalani ujian air kencing sampel A dilakukan secara rambang oleh IWF.

Untuk rekod,  ia adalah kes keempat tahun ini yang membabitkan atlet angkat berat dengan PABM turut berdepan risiko penggantungan daripada IWF susulan peningkatan kes kegagalan ujian doping melibatkan atlet negara.
 

  • oleh
  • Advertisement